Selasa, 21 Jun 2016 | 12:05am
BUAH kabung direbus selama dua jam sebelum dibelah bagi mengeluarkan isinya yang berwarna putih. Foto Muhaizan Yahya
PENGUSAHA buah kabung merintis laluan menuju tepi tebing bagi memudahkan mereka mengeluarkan tandan buah terbabit ke perahu dan daratan selepas memotongnya. Foto Muhaizan Yahya
HASLINDA Abu Hasan, 45, menunjukkan buah kabung atau kanto yang sudah siap disira gula berwarna merah untuk dijual runcit. - Foto Muhaizan Yahya
AFFENDI memindahkan tandan buah kabung yang sudah dipotong ke dalam sampan. - Foto Muhaizan Yahya
POKOK kabung tumbuh meliar dalam semak tepi tebing sungai sekitar Kampung Tua Belanja Kiri. - Foto Muhaizan Yahya

Buah 'beracun' laris sepanjang Ramadan


PARIT: Buah kabung sira yang turut dikenali sebagai buah kanto atau kantau di Perak, menjadi pencuci mulut popular sepanjang Ramadan.

Di sebalik tekstur isi dan rasanya seakan nata de coco, usaha memproses buah kanto bukan kerja mudah, kerana memerlukan kesabaran dan kepakaran, mengambil buahnya dari pohonnya yang hidup tinggi dalam semak tepi sungai.

Pengusaha buah kanto dari Kampung Tua Belanja Kiri di sini, Affendi Abdullah, 51, berkata dia bersama seorang rakan, meneruskan usaha memproses buah kabung setiap hari sepanjang Ramadan.

Beliau yang juga generasi terakhir dalam keluarganya yang mempunyai kemahiran itu, berkata usaha memproses buah kabung bukanlah sesuatu yang mudah kerana mengambil masa kira-kira 15 jam.

"Buah kabung mempunyai sifat semula jadi menyebabkan rasa gatal dan miang, tidak semua orang mampu bertahan. Sifat itu membuatkan ada menggelarnya buah racun kerana jika getahnya terkena kulit, ia menyebabkan rasa amat gatal.


BUAH kabung perlu direbus selama dua jam sebelum ia dapat dibelah bagi mendapatkan isinya. Foto Muhaizan Yahya


B Rajan, 28, mengeluarkan buah kabung yang siap direbus untuk proses membelah bagi mendapatkan isinya. - Foto Muhaizan Yahya

"Jadi, hanya orang tertentu yang mahir sahaja mampu dan sanggup memanjat pokok kabung bagi memotong tandan buahnya," katanya

Affendi berkata, dia bersama rakannya memulakan usaha mengambil buah kabung selepas jam 3 petang berbanding waktu pagi bagi mengelakkan embun buah yang turut mengakibatkan rasa gatal.

"Pokok yang rendah biasanya kami panjat sendiri. Namun bagi yang mempunyai ketinggian lebih sembilan meter, biasanya kami upah pemanjat berkemahiran. Kesan calar dan rasa gatal pada tubuh badan ketika memanjat pokok kabung adalah perkara biasa," katanya.

Affendi berkata, buah kabung yang diambil perlu direbus sehingga dua jam bagi melembutkan kulit sebelum boleh dikeluarkan isinya.

"Sebelum ini, ramai pengusaha menggunakan kaedah membakar buahnya kerana menghasilkan aroma yang lebih wangi, tetapi itu ia mengambil masa yang lebih lama serta remeh.

"Selepas direbus, buah dibelah untuk mengeluarkan sekurang-kurang tiga isi di dalamnya. Isinya berwarna putih dan tawar itu kemudian direndam beberapa jam lagi bagi mengeluarkan 'mata gatal' iaitu biji kecil berwarna putih yang boleh mengakibatkan lidah rasa gatal dan kebas jika termakan.


ISI buah kabung yang sudah lembut disira dengan air gula dan diletakkan pewarna merah sebelum dijual kepada pelanggan. - Foto Muhaizan Yahya


ISI buah kabung direbus untuk melembutkannya sebelum disira air gula dicampur pewarna. Foto Muhaizan Yahya

"Isi kabung yang dibersihkan biji kecil itu kemudian direbus lagi untuk melembutkannya sebelum akhir sekali dimasak dengan air gula selama beberapa jam dan ditambah pewarna," katanya

Affendi berkata, isi buah kabung atau kanto yang siap disira dan dibungkus dihantar kepada peniaga kecil kira-kira jam 9 pagi, manakala pemborong dari Sabak Bernam meraih kira-kira satu tan isi buah kabung seminggu sekali.

Pengusaha buah kabung, Zainuddin Pandak Kamaruddin, 70, berkata kerumitan memproses buah berkenaan, menyebabkan tidak ramai golongan muda berminat meneruskan perusahaan tradisi itu.

 "Bagi saya, walaupun bermusim, namun perusahaan ini mampu menjana pendapatan yang baik sepanjang Ramadan, seterusnya dapat meringankan beban persediaan meraikan Aidilfitri setiap tahun.

"Kekurangan mereka yang berminat memproses buah kabung menyebabkan ia kini semakin sukar diperoleh dalam pasaran termasuk ketika Ramadan, walaupun ia dipercayai dapat merawat masalah darah tinggi serta menyejukkan badan,"katanya.


B Rajan, 28, sedang memotong tandan buah kabung. - Foto Muhaizan Yahya

FAKTA:

  • 1.5 meter - purata panjang tandan buah kabung
  • 15 jam - proses buah kabung dari mentah hingga sira gula
  • 3 kali rebus - termasuk sira gula
  • 3 isi putih - setiap sebiji buah kabung
  • RM10/kg - harga isi buah kabung belum sira gula
  • RM2 sebekas isi buah kabung disira
126 dibaca
Berita Harian X