Sabtu, 18 Jun 2016 | 12:07am
PELBAGAI aksesori berasaskan mutiara yang dijual peniaga, Dayang Phiru Datu Amilbangsa di Pasar Umum Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
PELBAGAI aksesori diperbuat daripada bahan mutiara yang dijual di Pasar Umum Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
MUTIARA sentiasa mendapat permintaan khususnya wanita dari Semenanjung yang meminati hiasan berkenaan kerana sesuai digayakan setiap waktu. - Foto Poliana Ronnie Sidom
DAYANG Phiru Datu Amilbangsa menunjukkan hasil tangannya menggubah mutiara untuk dijadikan aksesori. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KEASLIAN mutiara dari Sabah sentiasa menjadi tarikan wanita khususnya musim perayaan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Jualan mutiara Sabah melonjak sempena Aidilfitri


SANDAKAN: Menjelang Aidilfitri, permintaan terhadap mutiara Sabah mula meningkat khususnya dari Semenanjung yang diminati kerana keaslian dan kualitinya.

Dayang Phiru Datu Amilbangsa, 55, antara 20 peniaga mutiara di Pasar Umum Sandakan yang mula sibuk menyiapkan tempahan pelanggan terhadap pelbagai aksesori berasaskan mutiara seperti butang baju, gelang, rantai, cincin, subang, jam serta kerongsang.

Seawal jam 8 pagi, ibu kepada enam anak ini sudah membuka gerainya yang menjadi sumber rezeki keluarga sejak 16 tahun lalu.

Sambil menanti kunjungan penggemar mutiara, wanita gigih itu tekun menyusun batu mutiara yang diperoleh daripada pembekal sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna bagi menghasilkan aksesori.

Bukan saja menggunakan keseluruhan batu mutiara, ada juga diselang-selikan dengan bahan lain seperti batu swarovski, jed dan kristal bagi menambah kilauan aksesori mengikut kreativiti atau kehendak pelanggan.


PELBAGAI aksesori berasaskan mutiara yang dijual peniaga, Dayang di Pasar Umum Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Dayang Phiru berkata, dia menerima tempahan dua bulan lebih awal daripada pelanggan tetap di Semenanjung sempena Aidilfitri kali ini.

Katanya, kebanyakan tempahan dibuat sama ada menerusi laman sosial, aplikasi WhatsApp atau mereka yang berkunjung sendiri ke pasar.

"Setiap kali menjelang Aidilfitri, kami tak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan. Mutiara sememangnya menjadi pilihan wanita khususnya dari Semenanjung kerana sesuai dipakai pada bila-bila masa, selain mempamerkan keanggunan si pemakai.

"Selain Aidilfitri, biasanya penggemar dari Semenanjung menggunakan mutiara sebagai barangan hantaran perkahwinan, cenderamata atau digunakan pada kenduri tertentu untuk diberikan kepada tetamu mereka," katanya kepada BH.

Kewujudan mutiara diketahui sejak lebih 5,000 tahun lalu bermula di India, China dan Iran.

Di Sabah, mutiara kebanyakannya diperoleh daripada penternak tiram di kawasan pantai timur yang menjadi pembekal utama kepada peniaga seluruh negeri.


DAYANG melakukan kerja menggubah mutiara untuk dijadikan aksesori dan dijual di Pasar Umum Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Mutiara yang diternak mempunyai tiga bentuk berbeza dipanggil jagung, kentang dan beras dengan mutiara paling mahal adalah mutiara kentang iaitu antara RM100 hingga RM250 sebutir kerana permukaannya yang licin dan bulat.

Mutiara memiliki empat warna berbeza iaitu hitam, putih, 'peach' dan 'lavender'.

Dayang Phiru berkata, pelanggan biasanya meminati semua jenis gubahan asalkan berasaskan mutiara dan sanggup membeli biarpun harganya mencecah ratusan ringgit dengan aksesori mutiara yang dijualnya daripada serendah RM5 hingga RM300 bergantung kualiti serta gred.

Biarpun pendapatan diperoleh peniaga mutiara agak merosot berbanding dua atau tiga tahun lalu dipercayai akibat kemelesetan ekonomi, katanya, hasil jualan masih mampu menampung kehidupan seharian keluarga.

"Berbanding dua atau tiga tahun lalu, kami boleh meraih RM5,000 hingga RM10,000 sebulan hasil jualan mutiara terutama musim perayaan dan cuti sekolah.

"Dulu saya memulakan perniagaan dengan modal cuma RM1,000 sebelum perniagaan berkembang kerana adanya permintaan dari Semenanjung," katanya.

Salina Salih, 39, pula berkata dia berkecimpung dalam perniagaan mutiara sejak lima tahun lalu dan mampu meraih pendapatan ribuan ringgit terutama ketika musim Aidilfitri susulan permintaan dari Semenanjung.

Katanya, ia sekali gus membolehkannya membantu suami membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri.


MUTIARA turut diselang-selikan dengan perhiasan kristal, jed dan swarovski untuk menambah tarikan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

INFO MUTIARA

  • Terhasil daripada spesies hidupan laut iaitu tiram
  • Mutiara yang terhasil secara semula jadi sukar ditemui kerana hanya satu daripada ribuan tiram di laut yang berkembang menjadi mutiara dengan harga sebutir mutiara mencecah ribuan ringgit
  • Awalnya dijadikan barang perhiasan mewah dan digunakan dalam ilmu perubatan zaman awal di Greek, Asia dan kepulauan Pasifik
  • Kaedah penternakan bagi menghasilkan mutiara dalam masa singkat diwujudkan susulan harga mutiara asli yang mahal
  • Tiram cuma diternak di air masin

Mutiara Sabah- Mutiara lebih berkualiti yang dihasilkan menerusi penternakan di laut‎- Selain dari Sabah, ada bahan mentah diperolehi dari China‎- Mempunyai tiga bentuk iaitu‎ jagung, kentang dan ra ‎‎Mutiara biasa- Dihasilkan di kilang- Biasanya digunakan untuk hiasan sulaman pada baju- Daripada bahan plastik- Ada juga yang diperolehi dari Filipina yang dihasilkan dari kulit kerang

94 dibaca
Berita Harian X