Khamis, 2 Jun 2016 | 8:03am

Saintis wanita kurang menonjol


SUMBANGAN wanita dalam bidang sains perlu diiktiraf.

MALAYSIA melahirkan ramai saintis wanita cemerlang yang memberi sumbangan dalam bidang masing-masing, tetapi kurang diberi pendedahan hingga nama mereka kurang menonjol berbanding saintis lelaki.

Justeru, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang berusaha mengetengahkan golongan terbabit termasuk memberi banyak pendedahan di media massa berkaitan pencapaian dalam pelbagai bidang sains.

Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur, berkata sejak April lalu, kementerian sudah mengumpulkan wanita yang cemerlang dalam bidang sains dan teknologi sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa untuk mengiktiraf sumbangan mereka.

Katanya, Malaysia ada ramai saintis wanita cemerlang. Sayangnya pencapaian mereka kurang didedahkan kepada umum kerana kurang inisiatif daripada organisasi masing-masing untuk menonjolkan kewibawaan mereka.

MOSTI hargai wanita

"Pencapaian mereka membanggakan dan jumlahnya juga semakin meningkat. MOSTI memulakan langkah memberi penghargaan kepada wanita yang cemerlang dan banyak menyumbang dalam pelbagai bidang sains di negara ini.

"Kita harap selepas ini lebih banyak pendedahan diberikan kepada wanita dalam bidang itu. Sekarang ada perkembangan positif apabila semakin banyak media menyiarkan artikel mengenai kejayaan saintis wanita," katanya mengulas mengenai penyertaan saintis wanita di negara ini.

Noorul Ainur berkata, keutamaan beliau sekarang mendekatkan MOSTI di hati rakyat kerana mereka ada kaitan rapat antara bidang sains dan teknologi dengan kehidupan seharian.

Antara langkah kementerian memastikan setiap program dan aktiviti dijalankan adalah menjurus kepada keperluan rakyat.

Sementara itu, Presiden Women in Nuclear Malaysia (WiN), Dr Noor Hasnah Mohamed Khairullah, berkata walaupun bilangan saintis wanita di negara ini ramai, tetapi kurang diberi peluang menonjolkan diri untuk menerajui organisasi saintifik atau dilantik ke peringkat pengurusan tertinggi.

Diskriminasi jantina

Memberi contoh dalam bidang nuklear yang memiliki hampir 44 peratus saintis wanita, Noor Hasnah berkata, sehingga kini belum ada dalam kalangan mereka di peringkat pengurusan tertinggi biarpun pengalaman dimiliki jauh lebih luas dan lama berbanding saintis lelaki.

"Kalau ada pun dalam bidang sains secara keseluruhan sehingga kini hanya Prof Datuk Dr Mazlan Othman diberi peluang mengetuai Agensi Angkasa Negara (Angkasa) kerana beliau adalah satu-satunya pakar astrofizik ketika itu," katanya yang melihat keadaan itu sebagai diskriminasi jantina.

83 dibaca
Berita Harian X