Rabu, 1 Jun 2016 | 4:18pm

Korea Utara sokong Trump


PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong-Un dan calon presiden Republikan, Donald Trump. - Foto REUTERS

SEOUL: Korea Utara menyokong calon presiden Republikan, Donald Trump, dengan laman web propaganda memuji beliau sebagai 'calon presiden berwawasan' yang boleh membebaskan rakyat Amerika Syarikat yang hidup dalam ketakutan kerana bimbang serangan nuklear rejim itu.

Ruangan kolum yang disiarkan akhbar DPRK Today menggambarkan Trump sebagai ahli politik bijak dan pilihan tepat bagi pengundi pada pilihan raya presiden 8 November ini.

Ia menyifatkan calon presiden Demokrat, Hillary Clinton, sebagai 'si bodoh Hillary' berhubung cadangan untuk melaksanakan sekatan yang pernah dikenakan terhadap Iran untuk menyelesaikan isu senjata nuklear di semenanjung Korea.

Sebaliknya, Trump memberitahu beliau bersedia berbincang dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, untuk cuba menghentikan program nuklear Pyongyang dan China perlu membantu menyelesaikan masalah itu.

Korea Utara dikenakan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung ujian nuklearnya. Korea Selatan dan Amerika Syarikat desakan mengadakan dialog tidak berkesan sehingga ia mengambil tindakan menghentikan cita-cita nuklearnya.

Akhbar berkenaan juga berkata, cadangan Trump supaya Amerika mengundurkan tentera dari Korea Selatan sehingga Seoul memberi bayaran lebih adalah cara mencapai penyatuan Korea.

"Trump bukan saja calon yang celupar, pelik dan jahil seperti yang diperkatakan, beliau sebenarnya ahli politik yang bijak dan calon presiden berwawasan," menurut kolum yang ditulis sarjana Korea dikenali sebagai Han Yong Muk. - Reuters

5450 dibaca
Berita Harian X