Selasa, 31 Mei 2016 | 11:07pm

KAFA minta PFAM, FMLLP henti keruhkan keadaan


SETIAUSAHA Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor.

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meminta Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) berhenti mengeruhkan keadaan berhubung isu tunggakan gaji bekas pemain Kelantan.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor, ketika mengulas desakan kedua-dua pihak yang mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tegas terhadap persatuan itu jika gagal melunaskan tunggakan gaji lima bekas pemain pasukan terbabit.

Beliau berkata, KAFA sedang berusaha untuk membayar tunggakan gaji pemain terbabit dan surat rayuan juga sudah dihantar kepada FAM.

"Jadi KAFA berharap permohonan menangguhkan seketika bayaran tunggakan diambil kira FAM dan berharap badan induk itu sentiasa memahami masalah yang dihadapi persatuan.

"Saya juga berharap agar segelintir pihak jangan mengambil kesempatan memburukkan keadaan sedangkan KAFA sedang berusaha menyelesaikan masalah itu sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi BH.

Ismail berkata, PFAM adalah sebuah persatuan yang menguruskan soal profesional pemain sahaja dan tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan mendesak supaya hukuman dikenakan terhadap KAFA.

"Soal menentukan hukuman adalah bidang kuasa FAM, jadi kita serahkan kepada FAM menggunakan budi bicaranya dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

"PFAM boleh menerima aduan pemain dengan menjadi wakil pemain untuk mengemukakannya kepada FAM. Segala bentuk tindakan adalah di bawah ketetapan Jawatankuasa Tatatertib FAM.

"FMLLP pula dilantik FAM untuk menguruskan pertandingan sahaja. Justeru, KAFA hanya akan akur dengan keputusan yang dikeluarkan oleh FAM," katanya.

61 dibaca
Berita Harian X