Isnin, 30 Mei 2016 | 12:02am
STEN dengan reka bentuk baharu yang dihasilkan.

Sten reka bentuk baharu untuk pesakit jantung


REKA bentuk sten mengikut keperluan rawatan pesakit.


CARA alat sten dimasukkan ke salur darah di dalam jantung.

Kuala Lumpur: Penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menghasilkan sten dengan reka bentuk baharu yang boleh mengurangkan sehingga 25 peratus pembentukan semula gumpalan pada salur darah selepas pembedahan jantung.

Inovasi itu adalah hasil kajian bawah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Kardiovaskular, Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan UTM, yang boleh dikomersialkan untuk membantu rawatan pesakit.

Seorang penyelidik terbabit dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Profesor Madya Dr Kahar Osman, berkata rawatan lazim sedia ada menggunakan kaedah implan sten melalui pembedahan bagi mengembangkan salur darah yang tersumbat.

"Ada pelbagai sten dalam pasaran ketika ini, namun wujud beberapa masalah dan komplikasi membabitkan salur darah kembali sempit selepas pembedahan.


SAIZ sebenar sten (kiri) diletakkan bersebelahan model yang dibesarkan.

Kerjasama dengan IJN

"Penyelidikan dijalankan berjaya menghasilkan sten dengan reka bentuk baharu yang boleh mengurangkan sehingga 25 peratus pembentukan semula gumpalan pada salur darah selepas pembedahan," katanya.

Projek penyelidikan itu bermula pada tahun 2007 dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dan turut dibantu dua pelajar peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di UTM, Mohamad Ikhwan Kori dan Fara Lyana Jamalruhanirdin.

Dr Kahar berkata, sten terbabit diperbuat daripada bahan logam tahan karat dikenali sebagai cobalt chromium dan sudah melalui beberapa modifikasi untuk rawatan pada bahagian lain tubuh badan manusia, termasuk otak, selain bagi kegunaan pesakit kanak-kanak.

Ketika ini, beliau berkata, penyelidikan itu masih pada peringkat simulasi komputer dan hampir ke proses akhir sebelum penghasilan prototaip serta ujian makmal (in vitro).

Rawatan lebih baik

"Implan sten berasaskan logam ini akan dicuba uji ke atas manusia dalam tempoh lima tahun lagi," katanya.

Sementara itu Perunding Kanan Kardiologi Pediatrik IJN, Dr Mazeni Alwi, berkata hasil penyelidikan berkenaan dapat membantu pesakit mendapat rawatan lebih baik di institut terbabit.

"Kerjasama penyelidikan yang terjalin juga sedang diperluas kepada inovasi rawatan pada salur darah bahagian kaki," katanya.

  • INFO: Inovasi sten dengan reka bentuk baharu
  • - Penyelidikan UTM dengan kerjasama IJN.

  • - Diperbuat daripada logam tahan karat.

  • - Boleh mengurangkan sehingga 25 peratus pembentukan semula gumpalan pada salur darah selepas pembedahan.

  • - Kajian turut diperluas kepada inovasi rawatan pada bahagian lain tubuh badan.

173 dibaca
Berita Harian X