;
Isnin, 23 Mei 2016 | 6:03pm

Wanita tergamam Toyota Wish dibeli disah klon

KANGAR: Seorang wanita tergamam apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish miliknya dirampas Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) di sini, selepas ia disahkan sebagai kereta klon.

MPV dengan nombor pendaftaran Thailand itu dirampas selepas semakan dilakukan ketika ia ditahan anggota bertugas di kawasan Taman Guru Jaya, di sini, Jumaat lalu mendapati tiada sebarang padanan pada nombor casis kenderaan itu dengan rekod dimiliki Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


DEPUTI Superintendan Syed Basri Syed Ali. - Foto Eizairi Shamsudin

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali, berkata terdahulu pihaknya yang menerima maklumat mengenai kenderaan mencurigakan itu kira-kira jam 3.30 petang, mengekori Toyota Wish terbabit sejauh hampir 2.5 kilometer dari Jalan Indera Kayangan ke Taman Guru Jaya, di sini.

Berdasarkan siasatan, katanya wanita berusia 28 tahun dan berasal dari Sungai Petani, Kedah itu mendakwa MPV berkenaan dibelinya kira-kira enam bulan lalu daripada seorang lelaki warga Thailand dengan harga RM20,000.

"Hasil pemeriksaan kita dapati nombor enjin kenderaan tidak sama dengan nombor casis dan data kenderaan itu juga tidak wujud dalam pangkalan data JPJ....bagaimanapun kenderaan itu mempunyai perlindungan insurans dan cukai jalan yang difahamkan dibuat di negara jiran," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Syed Basri berkata, dalam serbuan berasingan pada hari sama di Padang Besar, pihaknya menahan sebuah motosikal berkuasa tinggi ditunggang seorang lelaki yang turut disyaki berstatus klon.

"Motosikal jenis Honda CBR Fireblade itu dikesan mencurigakan kerana tidak memiliki nombor pendaftaran...ketika ditahan kira-kira jam 4.40 petang di sebuah pam minyak di Titi Tinggi, dekat sini, pemeriksaan mendapati tiada sebarang rekod mengenainya di dalam data JPJ.

"Suspek lelaki berusia 29 tahun dari Jitra, Kedah itu mengaku membeli motosikal itu dengan harga murah iaitu RM40,000 dan kita sedang siasat dari mana lelaki itu membeli motosikal terbabit," katanya.

Syed Basri berkata, kedua-dua kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan belum lulus Kastam.

385 dibaca
Berita Harian X