Selasa, 4 November 2014 | 4:05pm

Ramai artis popular berentap di separuh akhir Muzik-Muzik ke-29

KUALA LUMPUR: Separuh akhir Muzik Muzik kali ke-29 menyaksikan muka popular yang bakal berentap menerusi tiga episod berasingan bermula 14 November, 21 November dan 28 November ini. Secara keseluruhannya 30 buah lagu bertanding kali ini.

Bagaimanapun, hanya 12 buah lagu saja akan mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL-29) dijangka berlangsung Januari depan.

Amy Search, Awie, Erra Fazira, Stacy, Tomok, Hazama, Mojo, Black, Shahir, Akim Ahmad, Dayang Nurfaizah, Alyah dan Yuna antara nama pesaing.

Lagu untuk separuh akhir pada 14 November ini ialah Akhiri Penantianku (Alif Satar), Gilalah (Stacy), Cinta Tak Pergi (Tomok & Yana), Malaikat (Hazama & The Penglipurlara), Romancinta (MOJO), Hilang (Najwa Latif), Si Putih Si Merah (Black & RJ), Dia Yang Kau Pilih (Shahir) dan Dunia & Syurga (Akim Ahmad).

Pada 21 November pula ialah lagu Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah), Rindukanlah (Encik Mimpi), Ayuh Tinggalkan Dia (Encik Mimpi), Aku Juga Manusia (Amir Jahari), Gadis Jolobu ( Datuk Hattan& Waris), Jodoh Berdua (Hafiz Hamidun), Arjuna Beta (Fynn Jamal), Pasti Sempurna (Kristal & Ronnie Hyperact), Percayalah (Indah Ruhaila), Kau Pergi Jua (IamNeeta & Najwa Latif) dan Infiniti Cinta (Zizan & Kaka).

Sementara itu, pada 23 November pula ialah Mewangi (Akim & The Majistret), Sesal Separuh Nyawa (Alyah), Apa Khabar (Joe Flizzow & Sona One), Al Haq Yang Satu (Mawi & Datuk AC Mizal), Lelaki (Yuna), Rentak Laguku (Bunkface & Amy Search), Matahari (Hafiz), Tak Pernah Berjumpa (Forteen) dan Cinta Makrifat (Awie & Erra Fazira).

Muzik Muzik salah satu program terulung TV3 diterbitkan sejak 29 tahun lalu. Ia sinonim dengan paparan carta lagu tempatan popular dan persembahan artis yang menarik, program muzikal sebegini terbukti menjadi anjakan utama bagi komposer, penulis lirik dan penyanyi lagu tempatan untuk terus berkarya, seterusnya menyumbang kepada kelahiran bakat baru untuk memantapkan lagi industri muzik tanah air.

Dengan itu, untuk edisi ke-29 ini, TV3 ingin terus menghargai bakat seni terutamanya golongan muda yang banyak memberi inspirasi dalam memeriahkan industri hiburan tempatan dengan menganjurkan Separuh Akhir Muzik Muzik 29.

Separuh akhir Muzik Muzik 29 dimeriahkan oleh hos Muzik Muzik, AG dan Scha Alyahya dan Roslina Abd Rahman dari Primeworks Studios bertindak selaku Penerbit Muzik Muzik 29.

Saksikan separuh akhir Muzik Muzik 29 pada 14, 21 dan 28 November dengan percuma di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam atau secara langsung di TV3 pada jam 9.00 malam hingga 10.30 malam untuk melihat lagu kegemaran dan artis kesayangan berentap demi mendapat gelaran Anugerah Juara Lagu 29.

112 dibaca
Berita Harian X