;
Rabu, 18 Mei 2016 | 4:13pm

18 plaza tol laksana kutipan tol elektronik mulai 1 Jun


Timbalan Yang Dipertua Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Sazally Saidi.

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya akan dibuat di 18 plaza tol bagi enam lebuh raya bermula jam 12 tengah hari pada 1 Jun ini.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Sazally Saidi, berkata pelaksanaan kutipan tol ETC itu bertujuan meningkatkan tahap kecekapan pembayaran tol di setiap plaza tol berkenaan.

Beliau berkata, pelaksanaan ETC ini menggunakan kad Touch'n Go (TNG) atau SmartTAG bagi transaksi pembayaran di plaza tol terbabit.

"Perkhidmatan ETC di 18 plaza tol itu membabitkan sekitar Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (NNKSB), Jambatan Sultan Abdul Halim Muad'dzam Shah (JSAHMS) dan Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK).

"Bagi melancarkan operasi di setiap plaza tol berkenaan, pihak konsesi lebuh raya akan memastikan kemudahan lorong tambah nilai dan penjualan kad TNG di lorong yang beroperasi," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut berhubung pelaksanaan sistem ini boleh menghubungi hotline BORR (043299999), BESRAYA (1-800-88-0999), SKVE (1-30088-0026),NNKSB (0333420564), JSAHMS (1-300-30-2828) dan SILK (0389210123).

94 dibaca
Berita Harian X