Isnin, 9 Mei 2016 | 2:11pm

Penghantar barang terima padah menyamar polis


Anggota polis mengiringi V.Premantharan Pillai (kiri) yang didakwa atas 12 pertuduhan menyamar sebagai pegawai polis di Mahkamah Majistret Jitra. - Foto Amran Hamid

JITRA: Seorang penghantar barang didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas 12 tuduhan menyamar sebagai polis dan menipu membabitkan kerugian RM50,000, awal Mac lalu.

V Premantharan Pillai, 38, dari Pandamaran, Klang, Selangor, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa.

Tertuduh didakwa memperdayakan pegawai insurans, Umairah Abd Rahman, 29, dari Kampung Kandis, Kodiang, supaya mendepositkan wang tunai RM50,000 sebagai balasan membebaskan orang kena tangkap yang tidak wujud antara jam 8.55 malam hingga 9.50 malam, pada 5 Mac lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

Premantharan Pillai diwakili peguam, M Mathavan, manakala pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa, Inspektor Mohd Juhaisam Jusoh.

Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli menetapkan 12 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan urusan penyerahan dokumen.

36 dibaca
Berita Harian X