Khamis, 5 Mei 2016 | 6:17pm

65,924 penghidap diabetes jalani rawatan di Pahang


MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob turut memeriksa tekanan darah selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia peringkat negeri serta Kempen "Koi Nak Bersih, Koi Nak Sihat" di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan. - Foto Nazirul Roselan

KUALA LIPIS: Penyakit diabetes terus menjadi antara ancaman utama di negeri ini apabila merekodkan seramai 65,924 pesakit di seluruh negeri sehingga Februari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata daripada jumlah itu, daerah Kuantan merekodkan jumlah pesakit tertinggi iaitu 19,521 orang, diikuti Temerloh seramai 9,499 orang dan Maran (6,781 orang).

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan pesakit itu juga, seramai 56 peratus adalah wanita manakala 44 peratus lelaki.

"Diabetes bukanlah penyakit yang asing bagi kita, namun saban masa ada sahaja pengidap penyakit ini tanpa mengira usia, bangsa dan jantina.

"Jadinya, aspek pencegahan rawatan dan saringan perlu diberi perhatian yang serius dan melakukan saringan awal pada usia 30-an," katanya pada majlis perasmian sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2016 peringkat negeri di Dewan Makmur Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman.

Adnan berkata, kebanyakan pesakit diabetes di negeri ini lewat mendapat rawatan sehingga mendatangkan risiko berikutan kajian mendapati 45 peratus daripada pesakit direkodkan mendapatkan rawatan selepas lima hingga 10 tahun menghidap penyakit itu manakala 25 peratus lagi melewati tempoh 10 tahun.

"Sebahagian daripada mereka juga sudah dikesan mengalami komplikasi gangguan fungsi ginjal, penglihatan dan jantung sewaktu mula mendapat rawatan sama ada di hospital dan klinik kerajaan.

"Paling membimbangkan ialah pesakit yang menjalani rawatan tetapi tidak patuh kepada rawatan dan tidak mengawal pemakanan serta melakukan senaman seperti yang dinasihatkan oleh doktor," katanya.

101 dibaca
Berita Harian X