Rabu, 4 Mei 2016 | 9:24am

Operasi SAR 4 mangsa hilang di perairan Kudat diteruskan


ANGGOTA APMM Daerah Maritim Kudat menjalankan operasi mencari dan menyelamat empat pelancong yang hilang di perairan Kudat. - Foto APMM

KUDAT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat mangsa termasuk tiga pelancong yang dilaporkan hilang ketika menaiki bot di perairan Kudat, kelmarin, diteruskan pagi ini.

Sehingga jam 8.15 pagi tadi, semua mangsa iaitu dua warga Sepanyol serta masing-masing seorang rakyat China dan tempatan itu masih belum ditemui.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata pencarian diteruskan di sektor baharu iaitu barat Simpang Mengayau seluas 750 batu nautika persegi dengan penambahan dua kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Kita menggunakan empat vesel dan sebuah helikopter dalam usaha mencari mangsa.

Operasi turut membabitkan dua vesel TLDM dan dua lagi milik Pasukan Polis Marin (PPM)," katanya ketika dihubungi BH di sini, sebentar tadi.

Empat mangsa terbabit dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang dari Pulau Balambangan di Banggi ke tempat penginapan mereka di Tanjung Simpang Mengayau, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Kehilangan empat individu terbabit dibuat oleh pemilik bot selepas mereka tidak tiba di Tanjung Simpang Mengayau pagi semalam, selain gagal dihubungi.

Empat individu terbabit masing-masing dua lelaki dan dua perempuan itu bertolak dari Kampung Batu Sireh di Pulau Balambangan kira-kira jam 5.30 petang kelmarin menaiki sebuah bot dan sepatutnya tiba di Tanjung Simpang Mengayau jam 8 malam.

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan bot berkenaan mengalami kerosakan disebabkan keadaan cuaca buruk dan laut bergelora.

65 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »