Selasa, 3 Mei 2016 | 7:27pm

Graduan perubatan dicadang kerja dalam bidang berlainan


TIMBALAN Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr S Jeyaindran pada majlis perasmian Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2016 di Hospital Kuala Lumpur (HKL). - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan graduan perubatan diberi peluang bekerja dalam bidang lain bagi memastikan kebolehan mereka dimanfaatkan.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr S Jeyaindran, berkata setiap tahun kira-kira 5,000 graduan perubatan menjalani latihan tetapi 20 peratus berhenti atas alasan tekanan kerja dan tidak berminat.

"Bagi membantu masa depan pelajar berkenaan, KKM mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak dua bulan lalu untuk membolehkan siswazah berkenaan bekerja dalam bidang berlainan di kementerian lain.

"Di luar negara seperti India, siswazah yang mempunyai sijil kedoktoran boleh bekerja di kedutaan negara itu atau bahagian perbendaharaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2016 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pada majlis itu juga, Dr Jeyaindran turut merasmikan Program Kembali Bekerja - Kumpulan Sokongan Doktor bagi membantu menangani masalah tekanan di kalangan doktor.

Kumpulan sokongan doktor ini yang ditempatkan di bawah unit Kesihatan dan Pekerjaan (OSH) membantu pegawai perubatan untuk mendapatkan kaunseling serta khidmat nasihat pakar psikiatri,

Program ini yang bertujuan membawa doktor siswazah yang mengalami tekanan kembali bekerja dan menjalankan aktiviti untuk mempertingkatkan kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan pengurusan.

982 dibaca
Berita Harian X