Jumaat, 29 April 2016 | 12:04am

Penyokong perlu melihat sesuatu isu di luar kotak


GELAGAT penyokong Selangor perlawanan akhir dalam saingan kumpulan D Piala Malaysia 2014 di Stadium Shah Alam menetang pasukan T. Team. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

UNTUK menganjak bola sepak Malaysia ke tahap yang boleh dibanggakan, penyokong harus mengubah mentaliti ke arah yang sama terlebih dahulu. Kritikan yang membina amat diperlukan, namun apa yang kelihatan melalui media sosial dewasa ini hanyalah kritikan yang menjatuhkan.

Apa yang penyokong boleh banggakan dengan sumbangan sebagai perwira papan kekunci? Pantang dijentik terus lupa segala sifat sopan santun warga Malaysia. Pelbagai maki hamun dilontar ke arah mana-mana pihak yang melakukan perkara yang tidak disenangi.

Sememangnya penyokong mempunyai hak untuk bersuara, namun berpada-pada. Hak yang kita ada bukanlah lesen untuk kita dengan selamba menghamburkan emosi kita. Usahlah dimaki hamun ke atas perkara remeh yang menampakkan kita ini bagaikan manusia yang tidak bertamadun.

Penting untuk penyokong kita melihat sesuatu isu di luar kotak. Tiada faedahnya kita beremosi sangat sehingga sanggup melakukan dosa dalam sekelip mata. Adalah lebih baik untuk kita melihat sesuatu isu dengan berlapang dada tanpa dipengaruhi oleh emosi negatif yang tidak berfaedah.

Contoh terbaik, agak menjengkelkan melihat kutukan yang amat memalukan dilontarkan oleh penyokong bola sepak negara hanya kerana dua keping gambar dimuat naik di laman Facebook The Southern Tigers, laman FB rasmi Johor Darul Ta'zim (JDT), baru-baru ini.


PENYOKONG pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid

Hanya kerana berposing dengan kereta mewah habis satu Malaysia mengutuk kapten JDT dan skuad kebangsaan, Safiq Rahim. Begitu juga dengan bek kanan negara, S Kunanlan. Bagaimanapun, kutukan yang diterima oleh Safiq lebih banyak berbanding Kunanlan.

Ramai yang mengutuk mereka berdua kerana memiliki kereta semewah Ford Mustang (kepunyaan Safiq) dan Dodge Challenger (milik Kunanlan). Berbagai kutukan yang dilemparkan kepada mereka dan JDT sendiri turut terkena tempiasnya.

Ramai juga penyokong yang menyerang mereka secara peribadi dengan mempertikaikan corak permainan mereka yang tidak seberapa tapi berlagak dengan kereta yang hanya mampu dimiliki oleh golongan jutawan, bak seorang pemain terkenal dunia. Hmmmmm mentaliti apakah ini?

Rata-rata penyokong mengutuk Safiq bermewah tapi `hampeh' bila menyarung jersi kebangsaan selepas skuad kebangsaan dibelasah 0-10 oleh UAE dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2018. Pokok pangkalnya, apa kena mengena kemewahan Safiq dengan prestasi skuad kebangsaan yang longlai?

Kenapa situasi ini tidak digarap secara positif dengan melihat ini sebagai satu perkembangan yang sihat? Mungkin sukar diterima oleh kebanyakan kumpulan pengutuk ini, namun inilah hakikatnya. Daripada berkereta ala kadar apa salah jika mereka berdua memiliki sesuatu benda mengikut kemampuan mereka sendiri?

Kita harus melihat kemampuan pemain ini yang dikhabarkan dibayar gaji RM80,000 sebulan untuk Safiq dan RM50,000 untuk Kunanlan. Berdasarkan gaji mereka ini pasti mereka sudah memiliki akaun simpanan yang cukup mantap tanpa hutang keliling pinggang. Bukankah mereka sudah mampu membeli kenderaan mewah ini?

Pada satu sudut yang berbeza, ramai yang melihat sikap memaparkan gambar Safiq dan Kunanlan ini sebagai satu bentuk menunjuk-nunjuk oleh JDT yang diandaikan sebagai `berlagak seperti Real Madrid dan Barcelona'.

Hakikatnya, ramai yang tidak nampak bahawa ini adalah satu bentuk promosi buat sebuah kelab yang berkualiti dan terbukti seperti JDT. Mungkin pengutuk lebih cenderung kepada sifat negatif yang didorong oleh perasaan cemburu tapi sekurang-kurangnya, fikirlah di luar kotak.


SUASANA penyokong "Gergasi Merah" Selangor dan "Helang Merah" Kedah di Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2015 diantara pasukan Selangor menentang Kedah. - Foto Shazreen Zamzuri

Ini adalah satu langkah promosi yang amat berkesan terutama sekali untuk menarik pelabur dari syarikat gergasi luar negara untuk memantapkan lagi kewangan kelab. Kenapa tiada yang bertanya bagaimana JDT berjaya meyakinkan Adidas International menjadi penaja terus tanpa melalui syarikat pengedar jenama sukan nombor satu dunia ini seperti apa yang diperoleh oleh kebanyakan pasukan yang mendapat tajaan Adidas?

Apa salahnya sebuah pasukan yang menitik beratkan kualiti memuat turun gambar pemain yang memiliki kereta mewah? Tahukah anda bahawa JDT harus menggunakan segala platform yang ada untuk mempromosikan produk syarikat yang menjadi penaja mereka?

Syarikat menjual kenderaan mewah 23motors Sdn Bhd adalah salah satu penaja JDT untuk musim ini. Jadi sudah semestinya mereka layak untuk dipromosikan dengan apa cara sekalipun. Syarikat ini tentu sekali inginkan pulangan pelaburan terhadap pelaburan mereka melalui JDT.

Kesimpulannya, sifat buruk sangka dan seakan terlalu primitif harus dikikis. Bagaimana kemajuan dalam sukan boleh dikecapi dalam keadaan mentaliti penyokong yang amat negatif terhadap setiap kemajuan yang ingin ditonjolkan oleh sesebuah kelab?

Lapangkan dada dan berfikirlah secara positif demi kebaikan bersama. Yang salah kita tentang habis-habisan, yang baik kita sokong. Pendek kata, Safiq dan Kunanlan tidak minta duit atau derma dari kita untuk memiliki kenderaan idaman mereka.

Ayuh kita ucapkan tahniah kepada mereka berdua yang sekurang-kurangnya dapat memiliki sesuatu yang amat berbaloi sejajar dengan kemampuan mereka. Duit mereka, suka merekalah.

Ini bukan budaya `menjilat' tapi lebih kepada melihat sesuatu isu dengan lebih positif dan di luar kotak. Berlapang dada dan ubahlah mentaliti kita demi memartabatkan budaya menyokong.

256 dibaca
Berita Harian X