Rabu, 20 April 2016 | 11:05pm

Fauzan, Siti Zalina atlet terbaik PDRM 2015


MOHD Fauzan Ahmad Lutfi (kiri) dan Siti Zalina Ahmad. - Foto Google

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal negara, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi dinobatkan Olahragawan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) pada Majlis Anugerah Sukan PDRM 2015 yang berlangsung di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), malam ini.

Pemilihan pelumba berpangkat Lans Koperal Sokongan itu berdasarkan kejayaannya meraih dua pingat emas dalam ujian masa dan bukit serta pingat perak acara kriterium di Kejohanan Sukan Polis dan Bomba Sedunia di Washington, Amerika Syarikat, tahun lalu.

"Saya memang terkejut memenangi gelaran ini kerana sebelum ini memang sukar meraihnya lebih-lebih lagi dalam PDRM ramai atlet negara yang hebat seperti dalam acara bina badan dan boling padang," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, gelaran Olahragawati pula menjadi milik pemain boling padang kebangsaan, Siti Zalina Ahmad.

Tahun lalu atlet berpangkat Lans Koperal Sokongan dari Teluk Intan, Perak itu melakar sejarah apabila muncul juara dunia selepas menundukkan Julie Forrest dari Scotland 11-4, 12-5 dalam aksi final perseorangan wanita pada Kejohanan Piala Dunia di Warilla Bowls Club, Australia.

Anugerah Atlet Harapan Lelaki pula menjadi milik pemain boling padang negara, Muhammad Soufi Rusli manakala kategori wanita milik pelumba basikal kebangsaan, Nurul Suhada Zainal.

Jurulatih Terbaik menjadi milik Muhammad Khairuddin Mohamed dari sukan karate manakala Azisman Alias dari sukan tenpin boling dinobatkan selaku pengelola terbaik.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Turut berlangsung penyampaian surat penghargaan kepada anggota pangkat rendah dari kalangan atlet yang dinaikkan pangkat.

SENARAI PEMENANG ANUGERAH SUKAN PDRM 2015

Olahragawan - Mohd Fauzan Ahmad Lutfi (Lumba Basikal)

Olahragawati - Siti Zalina Ahmad (Boling Padang)

Atlet Harapan Lelaki - Muhammad Soufi Rusli (Boling Padang)

Atlet Harapan Wanita - Nurul Suhada Zainal (Lumba Basikal)

Jurulatih Terbaik - Muhammad Khairuddin Mohamed (Karate)

Pengelola Terbaik - Azisman Alias (Tenpin Boling)

168 dibaca
Berita Harian X