Rabu, 20 April 2016 | 11:12am

JDT intai peluang tiga mata ke persada liga malam ini


PENYOKONG pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) tampak berazam untuk kembali menguasai takhta liga apabila melayani kunjungan Sarawak pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Pengendali JDT, Mario Gomez mahu kesebelasan utama yang bakal diturunkan memperagakan aksi konsisten bagi memastikan tiga mata yang menjadi buruan tidak terlepas kepada skuad kendalian Datuk K Rajagobal.

Beliau yang dipilih selaku Jurulatih Terbaik Liga Super bagi bulan Mac musim ini mengingatkan barisan pemainnya supaya berwaspada dengan ancaman yang ditampilkan Sarawak yang turut mengintai peluang bagi meranapkan rekod tanpa kalah skuad Harimau Selatan pada saingan liga.

"Kita tidak boleh leka pada perlawanan itu nanti. Saya akan membuat rombakan kecil bagi menguatkan skuad itu tatkala berdepan Sarawak yang pasti akan turun habis-habisan memburu kemenangan.

"Walaupun pasukan pelawat berada di tangga ke-10, saya tidak anggap skuad itu lemah sebaliknya kita tahu mana-mana pasukan yang berdepan JDT akan mempamerkan kesungguhan untuk tewaskan kita.

"Kelibat Junior Eldstal yang sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan kemungkinan bakal diturunkan dan saya belum buat keputusan lagi namun apa yang boleh saya katakan kesebelasan utama JDT yang akan diturunkan tetap mantap," katanya.

Gomez juga menegaskan pemain JDT sudah melupakan kekalahan pertama 2-1 skuad itu kepada Kedah pada aksi separuh akhir pertama Piala FA malah pemain juga tampak begitu bersemangat untuk memburu kemenangan dan tidak mahu kehilangan mata.

Beliau berkata, tidak terlalu memikirkan aksi FELDA United menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjadi penentu sama ada JDT mampu melonjak kembali ke tangga teratas.

"Saya mahu tumpukan pada aksi JDT berdepan Sarawak dan tidak mahu fikirkan aksi membabitkan FELDA United-PDRM malah apa yang penting kita tidak keciciran mata dan sasaran utama untuk kembali menerajui takhta liga.

"Apa pun saya mahu pemain tidak memberi ruang kepada lawan yang diperkuatkan dengan kejituan barisan serangan yang diterajui Ndumba Makeche. Malah kita tidak mahu rekod tanpa kalah di laman sendiri dimusnahkan oleh Sarawak," kata Gomez.

Jadual Liga Super

Hari ini

TFC II mln Kedah

Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 9 mlm

JDT mln Sarawak

Std Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos, Larkin, 9 mlm

Pahang mln Kelantan

Std Darul Makmur, Kuantan, 9 mlm

Felda United mln PDRM

Std Tun Abdul Razak, Jengka, 9 mlm

Selangor mln P Pinang

Std Majlis Perbandaran Selayang, 9 mlm

69 dibaca
Berita Harian X