Selasa, 19 April 2016 | 10:41pm

Media Prima gondol dua anugerah


PENGARAH Sumber Manusia-Rantau Asia Pacific Elanco, Priscilla Tan (kiri) menyerahkan anugerah kepada wakil Sumber Manusia Kumpulan Media Prima pada majlis Anugerah Kecemerlangan Sumber Manusia Asia 2016 di Hotel Aloft, sebentar tadi. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (Media Prima) menerima Anugerah Perak bagi Pengalaman On-Boarding Terbaik dan Anugerah Gangsa bagi kategori Laman Sesawang Kerjaya Terbaik oleh Pasukan Korporat Sumber Manusia pada majlis Anugerah Kecemerlangan Sumber Manusia Asia 2016.

Anugerah berkenaan mengiktiraf organisasi dari segi kemantapan serta kecekapan Jabatan Sumber Manusia dan amalan pengurusan pekerja dalam memenuhi keperluan serta pertumbuhan perniagaan, pekerja, industri mahupun negara.

Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Media Prima, Nor Arzlin Redzwan berkata, syarikat berbangga diiktiraf dalam Anugerah Kecemerlangan Sumber Manusia dan akan sentiasa melaksanakan amalan terbaik industri.

Katanya, kemenangan ini juga membuktikan komitmen kumpulan untuk pembangunan kakitangan secara berterusan termasuk yang menyentuh aspek seperti komunikasi interpersonal antara majikan dan pekerja, memupuk nilai tanggungjawab, menghormati kepelbagaian dan memastikan peningkatan kemahiran serta kebajikan kakitangan secara berterusan.

"Pengiktirafan yang kami terima ini menunjukkan pelan kerja kakitangan, dasar-dasar dan inisiatif kami setaraf dengan amalan terbaik di dunia.

"Di Media Prima, kami memberi tumpuan kepada strategi dan berusaha untuk membina bakat tenaga mahir bertaraf dunia untuk memastikan kemampanan kami di masa depan dan ini yang menjadi kunci kepada kejayaan kami," katanya pada malam anugerah itu yang berlangsung di Hotel Aloft, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Nor Arzlin berkata, pihaknya akan sentiasa memberi penekanan kepada cara meningkatkan lagi keseimbangan antara bekerja dengan kehidupan yang sihat dalam organisasi.

Sebanyak 15 kategori dipertandingkan dalam anugerah yang dianjurkan majalah terkemuka Singapura pada kali ini yang dianjurkan majalah terkemuka Singapura.

Tahun lalu, Media Prima membawa pulang anugerah perak bagi kategori Penilaian Teknik Sumber Manusia Terbaik dan dua gangsa bagi Penggunaan Media Digital Terbaik serta Kepelbagaian dan Rangkuman Strategi Terbaik

63 dibaca
Berita Harian X