Isnin, 18 April 2016 | 5:10pm

Tindakan tegas kepada peserta, penganjur pesta liar


YANG Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Ismail.

KUALA TERENGGANU: Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) akan memantau `Pesta Liar Bulan Purnama' yang dijadual diadakan di Pulau Perhentian, Besut, esok.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Ismail, berkata tindakan undang-undang mengikut Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu akan dikenakan ke atas umat Islam yang menyertai pesta itu.

Katanya, Pegawai Penguatkuasa JHEAT akan dihantar untuk membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas bukan saja kepada peserta, malah penganjur serta pemilik chalet kerana membenarkan lokasi dijadikan tempat `Pesta Liar Bulan Purnama'.

"Saya beri amaran, jangan cemari keindahan alam semula jadi di pulau itu dengan penganjuran pesta yang membangkitkan kemarahan umat Islam.

"Pegawai dan anggota penguat kuasa JHEAT di daerah Besut sudah diarah membuat pemantauan dan jika anggota tidak mencukupi, kita bersedia mengarahkan pegawai JHEAT di daerah Setiu dan Kuala Terengganu membantu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Mesin Pencetak e-Braille kepada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Cawangan Terengganu, di Bilik Mesyuarat MAIDAM, di sini, petang ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Datuk Omar Muda dan Profesor Bersekutu Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Prof Madya Dr Mohamed Hussein.

Shaikh Harun berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pesta liar itu yang dikatakan mendapat sambutan ramai remaja termasuk beragama Islam di Pulau Perhentian, Besut selepas penganjur membuat publisiti di dalam laman sosial Facebook.

Pesta yang dianjurkan sebuah agensi pelancongan mengenakan bayaran RM50 hingga RM150 setiap peserta dan diadakan di kawasan pantai Long Beach yang menjadi tumpuan pelancong asing.

Sementara itu, kerajaan negeri memberi amaran akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan serta-merta lesen chalet yang membenarkan premis dijadikan lokasi pesta.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Bazlan Abd Rahman berkata, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga petang ini, belum menerima permohonan daripada penganjur untuk mengadakan pesta itu.

Katanya, Majlis Daerah Besut (MDB) diarah tidak mengeluarkan kelulusan kepada penganjur untuk mengadakan pesta berkenaan.

90 dibaca
Berita Harian X