Ahad, 17 April 2016 | 3:56pm

MOM masih kaji rayuan acara Sukan SEA 2017


Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih menganalisis dan menilai rayuan agar hanya 222 acara daripada 41 jenis sukan dimasukkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Selepas menyenarai 342 acara daripada 34 jenis sukan dalam senarai awal pada 17 Februari, MOM sedang menentukan senarai akhir untuk dipertandingkan.

Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa teknikal pada bulan Mei ini sebelum mengumumkan senarai akhir pada mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada 13 dan 14 Julai.

"Mesyuarat pada bulan Mei akan membincangkan merit semua acara. Sesetengah (persatuan sukan) mahu membincang, sesetengah enggan sementara sesetengah yang lain sudah mempunyai pertimbangan yang sangat baik.

"Kita akan terus terbuka. Sekiranya mereka mahu bermesyuarat, kita akan benarkan mereka bermesyuarat. Mereka perlu memberi sebab penuh dan hujah kenapa mereka mahu acara tertentu dipertandingkan," katanya di sini hari ini.

Pada 1 April, MOM mengumumkan ia menerima rayuan bagi 114 kategori lelaki, 100 acara wanita dan lapan acara campuran menerusi Majlis Olimpik Nasional 10 negara anggota ASEAN dan persatuan sukan kebangsaan.

Antara acara yang dikemukakan kepada MOM untuk rayuan ialah berbasikal (BMX dan basikal bukit), menembak (pistol, raifal, senapang patah dan pistol latihan), kanu/kayak, lawan pedang, bola lantai, judo, kempo, muay, sukan memanjat, tarung derajat, perlumbaan bot tradisi dan vovinam.

Sukan SEA yang bakal dihos Malaysia buat kali keenam dijadual diadakan dari 19 hingga 31 Ogos tahun depan. - BERNAMA

39 dibaca
Berita Harian X