Sabtu, 16 April 2016 | 4:18pm

'Lampu limpah Kompleks Sukan Keningau perlu naik taraf'


Kompleks Sukan Keningau.

KOTA KINABALU: Skuad Piala FAM, KDMM FC berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mempertimbangkan permohonan mereka untuk beraksi pada waktu malam di Kompleks Sukan Keningau.

Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada FAM berhubung perkara itu dan usaha menaiktaraf lampu limpah di kompleks berkenaan kini sedan giat dijalankan.

"Sebelum ini, kami telah mengotakan janji untuk menjadikan Keningau yang terletak di pedalaman Sabah sebagai gelanggang sendiri KDMM FC.

"Walaupun di pedalaman, sambutan yang diberikan peminat bola sepak di sini sangat menggalakkan. Sehubungan itu, kami berharap agar setiap perlawanan di Kompleks Sukan Keningau, bermula pusingan kedua nanti akan diadakan pada waktu malam," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Peter berkata, pihak FAM pada dasarnya telah bersetuju dengan permohonan KDMM FC untuk bermain pada waktu malam, namun ia bergantung kepada pemeriksaan terakhir yang akan dilakukan tempoh terdekat ini.

"Ia akan menjadi satu lagi kebanggaan dan sejarah kepada negeri ini khususnya di kawasan pedalaman jika perlawanan Liga Malaysia (Liga M) menerusi saingan Piala FAM, dapat diadakan pada waktu malam.

"Saya juga berharap pihak Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) akan sekali lagi membantu kelab ini dalam menyelesaikan masalah lampu limpah ini," katanya.

Beliau dalam pada itu turut berterima kasih dengan kerjasama yang diberikan LSNS sehingga berjaya mencatat sejarah baharu kancah bola sepak Sabah apabila saingan Liga M berlangsung di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Peter turut mengumumkan, perlawanan membabitkan KDMM FC di Kompleks Suka Keningau akan berlangsung pada hari Sabtu, bermula pada pusingan kedua nanti.

"Kami telah mengemukakan permohonan berhubung perkara itu, baru-baru ini dan sudah diluluskan.

"Antara faktor kami memohon untuk perlawanan diadakan pada hari Sabtu ialah kerana jarak antara ibu negeri dengan Keningau yang jauh, selain memberi keselesaan kepada penyokong yang hadir," katanya.

31 dibaca
Berita Harian X