Jumaat, 15 April 2016 | 4:24pm

Aplikasi nilai risiko serangan jantung dilancar


KETUA Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub dan Timbalan Naib Canselor UTM, Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail bertukar dokumen pada majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) aplikasi 'Online Heart Diseases Risk Assesment Centre' di IJN, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melancarkan sistem aplikasi 'Online Heart Diseases Risk Assesment Centre' bagi menilai risiko serangan jantung membabitkan penyakit kardiovaskular (CVD).

Pengarah Penyelidikan Klinikal IJN, Datuk Dr Suhaini Kadiman, berkata aplikasi itu akan membantu menyelesaikan masalah membabitkan kemudahan pengetahuan perubatan dan pengurusan CVD.

"Akses dalam talian adalah jalan terbaik untuk menyalurkan pengetahuan dan bantuan kepada masyarakat secara lebih pantas.

"Kita harap usaha ini membolehkan risiko dihadapi pesakit dikenal pasti, selain mengambil langkah sewajarnya membabitkan pencegahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) aplikasi itu di IJN, hari ini.

IJN diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub, manakala UTM oleh Timbalan Naib Canselornya, Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata, produk itu membolehkan orang ramai membuat pemeriksaan secara berterusan.

"Sistem ini menggalakkan masyarakat melakukan pemeriksaan tanpa mengira tahap kesihatan masing-masing.

"Mereka hanya perlu memasukkan butiran data seperti jantina, kaum dan umur manakala selebihnya akan kita lakukan," katanya.

149 dibaca
Berita Harian X