;
Rabu, 6 April 2016 | 12:03am

'Saya memang suka menulis'


PENGARANG terkenal Indonesia, Habiburahman El Shirazy.

"Apa yang saya ada kini ialah taufik daripada Allah. Saya tidak pernah terfikir menjadi penulis, sebaliknya Tuhan melorongkan saya kepada kehidupan ini," kata pengarang terkenal Indonesia, Habiburahman El Shirazy.

Habiburahman atau selesa merujuk dirinya sebagai Kang Abik, berkata beliau memang suka menulis ketika zaman universitinya di Mesir sehingga jika mengutus surat kepada emaknya di Semarang, novelis itu mampu menulis hingga 16 halaman.

Zaman pengajian yang serba kekurangan pula menyaksikan beliau mengambil upah menterjemah tulisan bahasa Arab ke bahasa Indonesia untuk menampung kos pengajian dan kehidupan ketika di sana.

"Saya fikir ia sebahagian persiapan yang Allah aturkan. Kemudiannya, ketika saya mendapat tawaran mengajar di Yogyakarta sebaik tamat pengajian, saya berulang-alik menggunakan motosikal dari Semarang hingga saya terbabit kemalangan jalan raya," katanya pada Wacana Proses Kreatif di Dewan Sri Tanjung, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, baru-baru ini.

Ketika itu, tambah Habiburahman, ibunya memintanya supaya berhenti kerja, sekali gus memberikan kesempatan sepanjang proses pemulihan yang mengambil masa lima bulan itu untuk menghasilkan novel pertamanya Ayat-Ayat Cinta.

Sambung cerpen terbengkalai


HABIBURRAHMAN (tengah) menyerahkan novel kepada Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Dr Zulkifli Osman diperhatikan Pengarah Program Wacana Proses Kreatif, Mohamad Zulfikar Kamarudin (kiri), Prof Madya Dr Bukhari Lubis (dua dari kanan) dan Ghazali di UPSI Tanjung Malim. - Foto Mahzir Mat Isa

"Waktu itu, saya tidak tahu apa yang hendak dibuat sebelum saya membuka komputer dan bertemu sebuah cerpen lama yang terbengkalai bertajuk Satu Hari di Musim Panas.

"Cerpen itu hanya satu halaman saja dan saya berniat untuk menghabiskannya. Ketika saya berhenti, saya dapati cerpen itu sudah melebihi 28 halaman sebelum nekad untuk menyambungnya menjadi novel.

"Saya mengubah judulnya menjadi Ayat-Ayat Cinta selepas membaca surah Az-Zukhruf ayat 67 yang menyebut, 'Pada hari itu sahabat karib; sebahagiannya akan menjadi musuh kepada yang lain, kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh). Saya fikir inilah ayat-ayat cinta sebenarnya," katanya.

Naskhah itu terbit pada tahun 2007 yang kemudiannya mencetus fenomena sendiri hingga diangkat menjadi filem, bahkan ramai penulis muncul dengan konsep novel yang serupa malah memilih nama pena yang hampir sama.

Kejayaan Ayat-Ayat Cinta menyaksikan beliau tampil dengan 12 novel lain dengan yang terkini adalah Ayat-Ayat Cinta 2.

Reaksi pembaca, ego pengarang


ANTARA yang hadir pada majlis Wacana Proses Kreatif Ayat-Ayat Cinta 2 di UPSI.

"Saya tidak berniat untuk menyambung novel sulung kerana yang tamat itu sudahlah. Namun saya mendapat banyak reaksi pembaca yang mahu saya menyambungnya tetapi sebagai pengarang, saya ada ego sendiri sehingga berasa cukuplah terhenti di situ.

"Bagaimanapun, saya bertanya diri sendiri, kalau karya itu boleh menginspirasi orang lain, mengapa tidak? Ini kerana tugas saya bukan hanya sebagai penulis, bahkan sebagai pendakwah yang mahu menyebarkan dakwah," katanya.

Menyiapkan novel yang tebal, Ayat-Ayat Cinta 2 yang mencecah hingga 1,000 halaman bukan satu masalah kepada Habiburahman kerana perkara paling utama ialah perancangan sebelum memulakan penulisan.

"Sebagai novelis, saya ada perancangan termasuk bila mahu tulis dan terbit. Ketika menulis Ayat-Ayat Cinta 2, saya membentuk watak dan membina keperibadiannya secara terperinci.

"Saya pilih nama yang terbaik dan kemudian membentuk watak lain di sekelilingnya. Saya memperincikan alur cerita, dan menyusun jalan cerita selengkapnya menjadi peta cerita sebelum dicetak serta ditampal di dinding.

Tidak suka peram idea

"Apabila semua sudah siap saya akan menulis mengikut perjalanan peta itu sehingga saya dapat menyiapkannya dalam masa dua minggu saja," katanya.

Dalam acara yang dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI, Ghazali Din itu, Habiburahman menegaskan beliau tidak suka memeram idea.

"Kalau saya punya idea, saya tidak akan biarkan begitu saja, sebaliknya akan terus menulis tidak kira di mana dan akan membuka komputer riba untuk menulis.

"Justeru, bahagian penghabisan Ayat-Ayat Cinta 2 saya sudahkan di UPSI dalam sela-sela waktu menghabiskan tesis sarjana yang saya buat di universiti ini, manakala sesetengah bab saya tulis ketika berceramah di Edinburgh dan Oxford, Britain," katanya.

336 dibaca
Berita Harian X