Isnin, 4 April 2016 | 5:18pm

Dek sibuk bekerja, Elfira Loy 'berehat' di hospital


Sumber Instagram elfiraloy

KUALA LUMPUR: Dek terlalu sibuk menguruskan perniagaan dan kegiatan seni, tubuh bintang remaja, Elfira Loy, 22, akhirnya tewas hingga memaksa dirinya 'berehat' di hospital selama empat hari.

Pelakon drama Qalisha itu memberitahu BH Online, akibat terlalu penat bekerja, kesihatannya mula terganggu sehingga perlu menjalani pemeriksaan di sebuah pusat perubatan di Cheras.

"Pada usia dewasa, ini kali pertama saya dimasukkan ke hospital. Saya memang jarang jatuh sakit. Kali ini, nampaknya tak dapat bertahan lagi. Disebabkan penat bekerja, saya terlupa hendak menjaga kesihatan," katanya yang tidak menceritakan secara terperinci jenis rawatan dan pemeriksaan yang dijalaninya di hospital.

Elfira berkata, doktor menasihatkan dia agar berehat selama beberapa hari sebelum kembali bekerja.

"Mungkin dalam tempoh seminggu ini, saya akan berehat di rumah saja. Buat peminat yang terus mendoakan kesihatan saya, jangan risau saya sudah semakin pulih...InsyaAllah," katanya.

Beberapa minggu lalu, Elfira berada di Perak bagi menjalani penggambaran telefilem Umrah.com yang turut dibintangi Syed Ali dan Fauziah Nawi.

Selepas beberapa tahun tidak berlakon kerana memberi tumpuan kepada pengajian dan perniagaan, Elfira kembali ke dunia lakonan dengan menerima beberapa tawaran.

"InsyaAllah, selepas berehat, saya akan menjalani penggambaran sebuah drama untuk siaran Hypp TV," katanya.

Baru-baru ini, Elfira sempat meluangkan masa bertemu pelakon, Randy Pangalila yang datang ke Malaysia atas komitmen seni. Mereka pernah digandingkan dalam beberapa buah naskhah seperti Dalam Hati Ada Taman dan Biar Mimpi Sampai Bintang.

"Gembira dapat bertemu Randy. Dia antara kawan baik saya dari Jakarta. Banyak benda yang kami kongsi apabila berjumpa. Selalunya, jika saya pergi Jakarta, saya tak dapat berjumpanya kerana sibuk," katanya.

333 dibaca
Berita Harian X