Isnin, 28 March 2016 | 4:57pm

Pos Malaysia lancar hab e-Dagang

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) melancarkan hab e-Dagang pertamanya bagi menerokai lebih banyak peluang perniagaan dalam sektor berkenaan di Malaysia serta luar negara.

Ia menawarkan pelbagai kemudahan logistik tempatan dan global, jaringan serta kemudahan infrastruktur sebagai usaha mempromosikan perniagaan e-Dagang kepada peniaga dan pembeli.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata inisiatif strategik itu adalah sebahagian proses transformasi untuk memperkasakan Pos Malaysia di rantau ini.

Katanya, ia sekali gus turut menyasarkan perniagaan e-Dagang sebagai salah satu cabang perniagaan yang memangkin Pos Malaysia untuk lebih berkembang pesat.

"e-Dagang adalah sebahagian daripada misi kami untuk memantapkan perkembangan perniagaan syarikat di peringkat tempatan dan global," katanya pada pelancaran hab e-Dagang Pos Malaysia di Kuala Lumpur, petang ini.

Hab berkenaan dilengkapi dengan sebahagian daripada aplikasi serta sistem yang inovatif seperti kemudahan gudang, antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) dan tempat simpanan bungkusan yang membantu dalam melancarkan proses urus niaga antara peniaga dan pembeli.

Melalui hab itu juga, kedua-dua peniaga dan pembeli berupaya menjalankan transaksi perniagaan 24 jam sehari secara global.

Platform e-Dagang juga menyediakan 5,700 'touch points' yang boleh diakses di rantau ini dan pada masa sama menghubungkan lapan juta alamat di seluruh Malaysia.

Mohd Shukrie berkata, sektor e-Dagang juga diharap dapat menjadi salah satu penyumbang terbesar kepada perniagaan Pos Malaysia untuk memberi keseimbangan kepada sektor mel tradisional yang semakin berkurangan permintaannya.

186 dibaca
Berita Harian X