;
Sabtu, 19 March 2016 | 10:29am

59 orang terkorban pesawat terhempas di Russia


TIGA gambar menunjukkan saat pesawat Boeing yang terhempas ketika hendak mendarat di Rostov-on-Don, selatan Russia, hari ini.

MOSCOW: Sebuah pesawat Boeing yang membawa 55 penumpang terhempas ketika hendak mendarat di Rostov-on-Don, selatan Russia hari ini, kata pegawai tempatan.

"Pesawat yang membawa 55 penumpang dan empat atau lima anak kapal, berlepas dari Dubai dan terhempas di kawasan tanah lapangan terbang di Rostov-on-Don, kata jurucakap Kementerian Kecemasan Tempatan, Marina Kostioukova.

"Buat masa ini kami tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai mangsa," katanya.

Kenyataan rasmi kementerian berkata, nahas berlaku pada kira-kira jam 0050 GMT.

"Pesawat Boeing 737 yang berlepas dari Dubai ke Rostov-on-Don terbakar (selepas terhempas)," kata kenyataan itu. Kebakaran berjaya dikawal pada kira-kira jam 0200 GMT.

Kapal terbang itu adalah milik syarikat penerbangan berpusat di Dubai.

Sementara itu, pusat trafik udara dan jabatan perkhidmatan kecemasan mengesahkan pesawat malang berkenaan terhempas dekat landasan ketika hendak mendarat kali kedua ketika jarak penglihatan yang tidak baik.

"Berdasarkan data awal, pesawat itu terhempas ketika jarak penglihatan tidak baik, kira-kira 50-100 meter di sebelah kiri landasan," kata sumber.

"Pesawat itu menurut data awal, terhempas ketika cuba mendarat kali kedua," kata sumber.

Kesemua kru dan penumpang di dalam pesawat terkorban dalam nahas berkenaan.

"Ketika hendak mendarat pesawat Boeing-737 itu terhempas. Ia membawa 55 penumpang. Kesemuanya terkorban," kata jurucakap kepada TASS.

Sementara itu, sumber lain memberitahu RIA bahawa semua penumpang adalah warga Russia, manakala anak kapal adalah warga asing. - AFP/AGENSI

485 dibaca
Berita Harian X