Rabu, 16 March 2016 | 12:04pm

Tol elektronik bukan jaminan trafik lancar


PEMANDU menggunakan kad Touch 'n Go. - Foto Sharul Hafiz Zam

KUALA LUMPUR: Semakin banyak plaza tol di negara ini melaksanakan kutipan tol secara elektronik sepenuhnya (ETC) menggunakan kad Touch 'n Go (TnG) dan SmarTAG.

Ini susulan keputusan Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) untuk melaksanakan sistem berkenaan di semua plaza tol seluruh negara mulai 2017.

Pelaksanaan ETC bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan, namun adakah pengguna bersedia menerima sistem itu atau masih perlu diberi pilihan menggunakan sistem bayaran tunai?

Persoalan, apakah alat dan sistem digunakan oleh pengendali lebuh raya berkualiti serta mencapai standard antarabangsa dan bagaimana pula jika bekalan elektrik terputus?

Plaza tol tetap sesak

Tinjauan BH di beberapa plaza tol di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang sejak beberapa hari lalu, mendapati ada sesetengah laluan ETC tetap sesak dan bertambah teruk apabila kad SmarTAG atau alat pengimbas tidak berfungsi atau rosak.

Hasil tinjauan BH mendapati, antara masalah yang boleh menyebabkan kesesakan di lorong ETC, terutama pada waktu puncak Isnin hingga Jumaat, termasuk kegagalan pengguna membuat imbasan di lorong Smart TAG, malah ada juga kes skrin pada alat pengimbas tidak jelas menunjukkan baki dan kerap rosak.

Beberapa pemandu yang ditemui, mengakui masalah pembayaran tol menggunakan SmarTAG bukan perkara baharu, malah bagi ahli perniagaan, Herwan Risman, 35, beliau sudah empat kali menukar SmartTAG sejak beralih membayar tol tanpa tunai tahun lalu kerana sering rosak.


MASALAH teknikal di lorong ETC sedia ada punca kesesakan pada waktu puncak. - Foto Ghazali Kori

SmarTAG mudah rosak

"SmarTAG versi baharu mudah rosak, termasuk tidak boleh diimbas pada peranti di plaza tol. Satu kelemahan yang saya lihat ialah apabila aduan dibuat untuk mendapatkan SmartTAG baharu, perlu tunggu sehingga empat bulan," katanya yang membeli alat itu pada harga RM127.

Kakitangan awam, Razali Razak, 29, yang menggunakan SmarTAG sejak dua tahun lalu, mengakui model lama SmartTAG lebih berkualiti berbanding versi baharu walaupun lebih kecil dan fleksibel, ia kerap mengalami masalah sukar diimbas.

Ahli perniagaan, Muhamad Faiz Md Noor, 34, berkata berdasarkan pengalamannya yang sering memandu jauh dan menggunakan SmarTAG hampir setiap hari, kerosakan pada alat itu sering berlaku apabila ia terlalu kerap digunakan.

"Kebarangkalian untuk SmarTAG rosak adalah tinggi. Selain itu, ada kala pengguna juga tidak peka dengan cara penggunaannya terutama apabila baki tidak mencukupi atau bateri habis. Apabila mereka tersangkut di lorong SmarTAG, ia turut menyulitkan pengguna lain," katanya.

Di Butterworth, tinjauan BH mulai jam 11 pagi hingga lewat petang Sabtu lalu mendapati lorong ETC untuk aliran trafik ke utara di Plaza Tol Sungai Dua juga sesak kerana jumlah trafik yang tinggi serta beberapa masalah teknikal.

Pengguna, Muhammad Zarim Jamaluddin, 26, berkata kegagalan alat pengimbas SmartTAG berfungsi dengan baik menyebabkan keadaan itu, malah beliau sendiri sering mengalami masalah dengan alat SmartTAG versi baharu.

Proses tambah nilai ambil masa

"Selain itu, hanya satu lorong dibuka untuk pengguna menambah nilai TnG hingga pergerakan trafik perlahan kerana proses tambah nilai mengambil masa agak lama, manakala ada plaza tol yang langsung tidak menyediakan khidmat itu," katanya.

Pekerja swasta, Ahmad Arafat Mohamed Esah, 29, berkata kesesakan di lorong ETC juga disebabkan pengguna gagal memastikan baki nilai kad TnG mencukupi lalu tersekat di lorong berkenaan dan menyebabkan ramai pengguna lain terpaksa beratur panjang atau menukar lorong hingga mengganggu pergerakan kenderaan lain.

Di Johor Bahru, Shafiq Amir Zubir, 30, berharap pengendali lebuh raya dapat mengatasi sebarang masalah sistem atau isu lain di lorong ETC dengan cepat kerana kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan trafik sesak walaupun bukan pada waktu puncak.

  Pengguna TnG, Rusidah Deddye, 25, berkata sistem ETC adalah baik, terutama menjimatkan masa pengguna dan kos pihak pengurusan, namun sebarang kerosakan pada sistem berkenaan harus diatasi dengan segera, terutama pada waktu puncak atau hujung minggu.

Berita Harian X