Rabu, 16 March 2016 | 12:01pm

Syarikat konsesi janji tambah baik sistem ETC

KUALA LUMPUR: Persatuan Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM) akan membuat penambahbaikan kepada sistem kutipan tol elektronik (ETC) yang dilaksanakan di lebuh raya, terutama sekitar Lembah Klang.

Timbalan Yang Dipertuanya, Sazally Saidi, berkata ia bagi memastikan masalah berkaitan SmartTAG dan TnG diatasi, sekali gus memastikan kecekapan aliran trafik pada tahap maksimum.

"Kami peka dengan isu kesesakan di lorong ETC disebabkan masalah teknikal pada alat pengimbas SmartTAG dan sudah ambil langkah menempatkan kakitangan di lorong berkenaan, terutama pada waktu puncak. Cabaran lain ialah mendidik pengguna mengenai ETC kerana masih ramai tidak biasa dengan sistem ini.

"Untuk meningkatkan kesedaran pengguna, ia mengambil masa. Penambahbaikan lain ialah membuka lebih banyak lorong tambah nilai di plaza tol serta kaunter jualan," katanya sambil menambah, pertimbangan juga dibuat untuk penggunaan sistem Multi Lane Free Flow (MLFF).

Pasang alat pengimbas

Menerusi sistem baharu menyerupai sistem Electronic Road Pricing (ERP) seperti di Singapura yang tidak memerlukan pembayaran di plaza tol itu, katanya, alat pengimbas dipasang di lokasi tertentu untuk mengakses kenderaan secara terus bagi transaksi pembayaran walaupun pada kelajuan 110 kilometer sejam (km/j).

Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya, berkata aduan kerap diterima pihaknya bertumpu kepada masalah SmartTag yang sukar atau tidak dapat diimbas, selain kerosakan sistem ETC.

"Ada juga pengguna mengadu baki nilai kad Touch n Go berkurangan selepas kad itu lama tidak digunakan. Selain itu, rekod bayaran atau bukti resit yang tidak dikeluarkan untuk bayaran melalui SmarTag atau TnG menyebabkan pengguna sukar mengetahui perbelanjaan dikeluarkan mereka bagi tempoh tertentu," katanya.


MASALAH teknikal pada alat elektronik antara punca keadaan trafik sesak di plaza tol. - Foto Abdullah Yusof

Bantu kurang kesesakan

Beliau mengakui sistem ETC kaedah baik dan boleh membantu mengurangkan kesesakan di plaza tol, namun masih banyak yang perlu ditambah baik, termasuk kurangnya perkhidmatan tambah nilai di lorong atau kaunter di plaza tol sehingga pengguna terpaksa bersesak di laluan tunai.

"Ada plaza tol langsung tiada khidmat tambah nilai, sekali gus boleh ganggu pengguna lain sehingga berlaku kesesakan teruk. Selain itu, tidak ramai biasa dengan sistem ETC terutama yang jarang ke ibu negara atau kawasan yang banyak lebuh raya bertol," katanya.

Beliau mencadangkan supaya sekurang-kurangnya satu lorong tunai dibuka di setiap plaza tol yang melaksanakan sistem ETC bagi memudahkan pengguna, selain menambah pekerja di lorong SmartTag dan TnG, terutama pada waktu puncak untuk melancarkan trafik dan membantu pengguna yang berdepan masalah.

Berita Harian X