Rabu, 16 March 2016 | 12:00pm

89 lagi plaza tol guna sistem ETC


PLAZA tol Jambatan Pulau Pinang melaksanakan sistem bayaran secara elektronik sepenuhnya bermula Jun depan. - Foto Amir Irsyad Omar

KUALA LUMPUR: Sebanyak 89 lagi plaza tol di empat lebuh raya akan melaksanakan sistem pembayaran tol elektronik (ETC) bagi menggantikan pembayaran secara tunai tahun hadapan.

Daripada jumlah itu, 61 membabitkan plaza tol Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Juru, Seberang Perai ke Skudai, Johor, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE- sembilan plaza tol), Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1-sembilan) dan LPT 2 (10).

Bantu lancar aliran trafik

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Sazally Saidi, berkata sistem ETC akan membantu melancarkan aliran trafik dan memudahkan perjalanan pengguna lebuh raya.

"Setakat ini, sistem terbabit sudah dilaksanakan di 51 plaza tol di 20 lebuh raya di Semenanjung, manakala 26 plaza tol di lima lebuh raya dijangka akan melaksanakan sistem itu pada Jun dan September depan.

"Jambatan Pulau Pinang Kedua (JPP2), Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA) akan mula menggunakan ETC pada Jun," katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Tak buang pekerja

Mengulas mengenai masa depan jurutol apabila ETC dilaksanakan, Sazally berkata, syarikat konsesi tidak akan membuang pekerja masing-masing.

"Sebahagian jurutol akan terus bertugas di plaza tol bagi memantau kelancaran operasi sistem berkenaan dan membantu pengguna yang berdepan dengan kesulitan.

"Selebihnya, akan ditempatkan di bahagian kad Touch 'n Go dan Smart-TAG bagi memudahkan urusan penjualan dan tambah nilai," katanya.

64 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »