Ahad, 13 March 2016 | 11:46am

Tambah nilai Touch 'n Go di Plaza Tol Gombak, Bentong


PENGENDALI KLK dan LPT1, ANIH Bhd menyediakan khidmat tambah nilai Touch 'n Go di enam lorong, masing-masing di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong. - Foto hiasan

KUANTAN: Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Bhd menyediakan khidmat tambah nilai Touch 'n Go di enam lorong, masing-masing di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong.

Pengarahnya, Nik Fauzi Nik Hussein, berkata pihaknya juga menempatkan jurutol di setiap lorong berkenaan selain kakitangan dan penyelia tol yang akan memberi bantuan kepada pengguna jika menghadapi masalah transaksi menerusi sistem kutipan tol elektronik (ETC).

Beliau berkata, kemudahan kad pembaca Touch `n Go mudah alih di plaza tol turut disediakan bagi memastikan operasi pengurusan di Plaza Tol pada tahap optimum untuk melancarkan perjalanan pengguna sepanjang cuti persekolahan ini.

"Pelaksanaan sistem kutipan tol elektronik (ETC) di Plaza Tol Gombak dan Bentong sejak September lalu banyak membantu mempercepatkan perjalanan pengguna KLK ke pantai timur berbanding sistem pembayaran tol secara tunai sebelum ini.

"Secara umum, lorong tunai sebelum ini hanya dapat memproses 400 kenderaan setiap jam berbanding kapasiti lebih besar bagi lorong Touch 'n Go, iaitu sebanyak 600 kenderaan dalam masa sejam dan 1,000 kenderaan sejam bagi lorong SmartTAG.

"Pengguna KLK terpaksa mengambil masa sehingga 15 saat untuk membayar tol secara tunai berbanding enam saat jika menggunakan kad Touch 'n Go dan hanya tiga saat bagi lorong SmartTAG," katanya dalam satu kenyataan.

Nik Fauzi berkata, ANIH Berhad turut menyediakan kaunter pembelian kad T'nG di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong. PKP beroperasi 15 jam setiap hari dari 7 pagi hingga 10 malam bagi memudahkan pengguna membeli atau menambah nilai.

Selain itu, pihaknya turut menyediakan khidmat tambah nilai dan pembelian kad T'nG menerusi kios Touch 'n Go di Hentian Rehat dan Rawat Genting Sempah. 

"Walaupun transaksi elektronik dilaksanakan sepenuhnya dan terbukti mempercepatkan waktu perjalanan, ANIH Berhad menasihatkan pengguna supaya sentiasa memastikan baki kad mereka mencukupi," katanya.

180 dibaca
Berita Harian X