Selasa, 8 March 2016 | 2:29pm

Genap setahun Elfira Loy bertudung


Elfira Loy

KUALA LUMPUR: Hari ini membawa 1,001 makna dalam hidup bintang remaja, Elfira Loy.

Selain menyambut hari jadi yang ke-22, hari ini genap setahun pelakon drama Qaleesya itu bertudung.

Kalau masih ingat, ketika meraikan hari jadi yang ke-21, tahun lalu, Elfira mula bertudung.

Dalam sibuk berlakon dan menamatkan pengajiannya, Elfira sempat melancarkan kempen #EL8March bagi memperkenalkan jenama pakaian 'ready to wear' termasuk skaf di bawah label El by Elfira Loy, semalam.

Pelancaran itu akan dilakukan secara maya, malam ini pada laman sesawang el-elfiraloy.com. Cukup menggembirakan pelakon ini, #EL8March sudah menjadi trending pada kedudukan pertama di laman sosial Twitter.

"Koleksi yang diperkenalkan khusus untuk wanita bersaiz 'petite' seperti saya. Jadi, apa yang akan dijual lebih kepada saiz dan gaya saya.

"Pendek kata, jenama ini mewakili diri saya. Saya cukup optimis dengan perniagaan ini.

"Untuk bersaing dengan jenama yang sedia ada, ia amat sukar. Namun, jika kita menjual apa yang diminati selain memenuhi keperluan ramai, insya-Allah semuanya akan lancar," katanya kepada BH Online.

Ramai tahu, Elfira adalah antara artis muda yang komited dalam perniagaan yang diusahakan.

Sebelum ini, Elfira pernah menjalankan perniagaan skaf, kemeja-T dan sarung telefon. Dia juga membuka kafe, Lovemesevendays di Alam Damai, Cheras.

Mengenai pengajiannya dalam bidang seni hiburan di Kolej Damansara Utama (KDU), Glenmarie Shah Alam, Elfira memberitahu dia hanya menunggu hari graduasi, tidak lama lagi.

103 dibaca
Berita Harian X