Khamis, 3 March 2016 | 9:09pm
PASUKAN keselamatan mengelilingi bangunan dalam satu operasi menangkap dua penyerang yang menyerang polis dengan tembakan dan bom tangan di Istanbul. - Foto AP

2 wanita serang balai polis Istanbul maut

ISTANBUL: Dua wanita yang bersembunyi dalam bangunan selepas menyerang polis dengan tembakan dan bom tangan mati dibunuh manakala dua pegawai polis cedera ringan dalam insiden itu.

Agensi Anadolu, tanpa menyebut sumber, melaporkan wanita terbabit dikenal pasti sebagai anggota kumpulan haluan kiri yang diharamkan, Barisan Tentera Revolusi Pembebasan Rakyat atau DHKP-C.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan wanita terbabit melepaskan tembakan ke arah bas polis di luar balai polis rusuhan di kejiranan Bayrampasa di sini, selain membaling bom tangan ke balai polis. Bom tangan terbabit bagaimanapun tidak meletup.

Mereka melarikan diri dari tempat kejadian menggunakan sebuah kenderaan dan bersembunyi dalam bangunan tidak jauh dari balai polis itu.

Televisyen NTV melaporkan, pasukan polis khas segera mengepung bangunan itu dan melancarkan operasi selepas kedua-duanya tidak mengendahkan gesaan supaya menyerah diri dan melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa.

Gabenor Istanbul, Vasip Sahin, berkata kedua-dua penyerang terbunuh dalam operasi itu. - AP

Berita Harian X