Rabu, 2 March 2016 | 11:38pm

MOM sedia senaraikan semula 8 acara olahraga


Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersedia untuk mempertimbangkan semula keputusan menggugurkan lapan acara daripada sukan olahraga dalam temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar menegaskan Persekutuan Olahraga Malaysia (KOM) dan persatuan olahraga kebangsaan dari negara ASEAN perlu memberi alasan kukuh sekiranya mahu merayu terhadap keputusan itu.

"Buat masa ini, kami masih mengekalkan 38 acara dalam olahraga. Setiap acara tambahan yang dipertandingkan memerlukan bajet tambahan. Sebagai negara tuan rumah, kita mempunyai hak untuk menyertai mana-mana acara.

"Pemilihan acara untuk dipertandingkan bukan sahaja mengambil kira potensi pingat untuk negara tetapi atlet yang bersaing dalam sesuatu acara itu perlu kompetitif," katanya di sini, hari ini.

Bulan lepas, MOM mengumumkan lapan acara olahraga iaitu maraton, 10,000m dan 3,000m lari berhalangan lelaki dan wanita, dekatlon dan heptatlon telah terkeluar daripada senarai sementara 34 jenis sukan dan 342 acara untuk Sukan SEA 2017.

Untuk rekod, Malaysia tidak memenangi sebarang pingat dalam lapan acara yang digugurkan itu dalam Sukan SEA Myanmar 2013 dan Singapura tahun lepas.

Sejumlah 38 acara tersenarai dalam olahraga adalah 12 acara padang, iaitu lompat tinggi, lompat jauh, lompat kijang, lompat bergalah, lontar peluru, lontar cakera, lontar tukul besi dan lontar lembing,lelaki dan wanita.

Sebanyak 22 acara balapan adalah 100m, 200m, 400m, 800m, 1,500m, 5,000m, 4x100m, 4x400m, dan 400m lari berpagar lelaki dan wanita, 110m lari berpagar lelaki, 100m lari berpagar wanita, 20km jalan kaki lelaki dan 10km jalan kaki wanita.

Senarai terakhir acara sukan yang akan dipertandingkan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan diputuskan pada Mesyuarat Majlis Persekutun Sukan SEA (SEAGF) pada 13-14 Julai depan.

Sukan SEA 2017 dijadualkan dari 19-31 Ogos merupakan kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah kepada acara sukan terbesar di Asia Tenggara selepas tahun 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001. - BERNAMA

131 dibaca
Berita Harian X