Sabtu, 27 Februari 2016 | 11:44am

Pengguguran acara olahraga bakal kecewakan atlet


TAN Sri Dr M Jegathesan.

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh pecut negara, Tan Sri Dr M Jegathesan berasakan keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggugurkan lapan acara daripada sukan olahraga dalam Sukan SEA 2017, akan mengecewakan atlet terbabit.

"Ia akan amat mengecewakan atlet yang berlatih untuk acara yang digugurkan. Kini mereka tidak mempunyai peluang untuk menjadi sebahagian daripada sukan serantau itu.

"Sama ada mereka akan memenangi pingat emas atau tidak, mereka akan kehilangan peluang ini. Mereka mungkin membuat kejutan jika diberi peluang," kata Dr Jegathesan kepada BERNAMA.

Selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa teknikal minggu lalu, Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar mengumumkan lapan acara olahraga iaitu maraton, 10,000m dan 3,000m lari berhalangan lelaki dan wanita, dekatlon dan heptatlon terkeluar daripada senarai sementara 34 jenis sukan dan 342 acara untuk Sukan SEA 2017.

Keputusan itu mencetuskan kontroversi apabila Persatuan Atlet Asia (AAA) berkata ia tidak akan memberi persetujuan kepada acara olahraga jika Malaysia tidak menganjurkan semua 44 acara untuk lelaki dan wanita dalam kejohanan itu.

Apabila ditanya mengenai rayuan kepada AAA untuk meneruskan acara yang digugurkan, Dr Jegathesan yang juga bekas Timbalan Presiden MOM berkata Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) boleh berbuat demikian dengan alasan yang kukuh.

"Saya percaya ia adalah sebahagian daripada peraturan mereka (AAA) untuk melindungi kejohanan itu kerana organisasi seperti AAA adalah penjaga kepada olahraga...sesiapa boleh merayu, semua organisasi membenarkan rayuan tetapi mereka mengharapkan alasan yang kukuh.

"Ia bergantung kepada anda untuk meyakinkan mereka, sama ada mereka yakin atau tidak , itu cerita lain," kata Dr Jegathesan yang bertanding di dalam Sukan Olimpik di Rom pada tahun 1960, Tokyo (1964) dan Mexico (1968).

Sementara itu, seorang lagi bekas atlet yang mewakili negara di Sukan Olimpik di Tokyo pada 1964 dan Mexico pada 1968, Datuk Nashatar Singh merasakan tindakan itu mengubah tujuan asal sukan dwitahunan itu diadakan.

"Sasaran asal Sukan SEA ialah untuk atlet dari pelbagai negara bergaul, beramah mesra, mengenali antara satu sama lain. Ia bukannya berapa banyak pingat emas yang anda menang," katanya.

"Jika anda fikir anda tidak mempunyai pelari yang bagus, anda tidak boleh menggugurkan acara itu, anda perlu mengekalkan acara itu. Acara kejohanan ini masih dipertandingkan sejak 1959. Jika anda tidak boleh menang anda perlu menganjurkan acara itu tidak ada salahnya," kata pemegang pingat emas acara lontar lembing Sukan Komanwel 1966 itu.

Nashatar yang juga Pengarah Operasi Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur, mempersoalkan keperluan menggugurkan acara olahraga berkenaan kerana acara itu tetap dianjurkan semasa Sukan Komanwel biarpun negara tidak mempunyai pelari pada masa itu.

"Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) atau Persekutuan Olahraga Malaysia perlu memohon permit untuk menjadi tuan rumah acara olahraga untuk Sukan SEA. Syaratnya mereka mesti menganjurkan kesemua 44 acara olahraga," kata Setiausaha Kehormat AAA, Maurice Nicholas ketika dihubungi Bernama di Singapura.

"Perlu diingat semua atlet dari negara Asia Tenggara telah berlatih untuk kejohanan ini maka kami tidak patut menafikan mana-mana atlet dengan menggugurkan acara berkenaan," katanya.

Tiga puluh lapan acara tersenarai dalam olahraga adalah 12 acara padang, iaitu lompat tinggi, lompat jauh, lompat kijang, lompat bergalah, lontar peluru, lontar cakera, lontar tukul besi dan baling lembing, lelaki dan wanita.

Dua puluh dua acara balapan adalah 100m, 200m, 400m, 800m, 1,500m, 5,000m , 4x100m lari berganti-ganti, 4x400m lari berganti-ganti dan 400m lari berpagar lelaki dan wanita, 110m lari berpagar lelaki, 100m lari berpagar wanita, 20km jalan kaki lelaki dan 10km jalan kaki wanita.

Sebagai rekod, Malaysia tidak memenangi sebarang pingat dalam lapan acara yang digugurkan dalam Sukan SEA Myanmar 2013 dan Singapura tahun lalu.

Senarai terakhir sukan dan acara yang akan dipertandingkan di Suka SEA Kuala Lumpur 2017 akan diputuskan pada Mesyuarat Majlis SEAGF pada 13-14 Julai ini.

Sukan SEA 2017 dijadualkan dari 19-31 Ogos adalah kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah kepada acara sukan terbesar di Asia Tenggara sejak 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001.

- BERNAMA

164 dibaca
Berita Harian X