Jumaat, 26 Februari 2016 | 7:47am

United berpesta gol benam Midtjylland 5-1


PEMAIN Manchester United, Marcus Rashford (tengah) meraikan kejayaan berjaya membolosi gawang FC Midtjylland, pada perlawanan Liga Europa, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

MANCHESTER: Bintang muda, Marcus Rashford meledak dua daripada empat gol di babak kedua buat Manchester United pada pada penampilan pertamanya sebagai pemain profesional ketika skuad itu menang 5-1 ke atas FC Midtjylland, awal pagi tadi.

Kemenangan itu sekali gus mengelak pasukan gergasi Inggeris itu dimalukan di gelanggang sendiri dan mara ke peringkat 16 terakhir dengan agregat 6-3.

Rashford dari akademi tempatan berusia 18 tahun hanya mendapat tahu dia berada dalam kesebelasan utama beberapa minit sebelum sepak mula selepas Anthony Martial mengalami kecederaan hamstring kanan pada sesi pemanas badan.

Dia menyelamatkan United selepas Midtjylland mendahului 2-1 hasil kemenangan pada perlawanan pertama selain mendahului di Old Trafford pada minit ke-27.

Selepas United menyamakan kedudukan menerusi gol sendiri pemain lawan, Rashford menjaringkan gol pada minit ke-63 dan 75 untuk meletakkan pasukannya di hadapan berdasarkan agregat.

Ander Herrera dan Memphis Depay menambah gol pada lewat permainan untuk mengesahkan kemenangan bergaya United ke atas pasukan kurang dikenali dari Denmark itu. - Agensi

144 dibaca
Berita Harian X