;
Selasa, 21 Oktober 2014 | 8:36am

CEO syarikat minyak gergasi Perancis, Total maut pesawat terhempas

MOSCOW: Ketua Eksekutif (CEO) syarikat minyak gergasi Perancis, Total, Christophe de Margerie dilaporkan maut selepas jet peribadinya terhempas di sebuah lapangan terbang di Moscow.

Laporan media Russia yang memetik sumber penerbangan awam dan pegawai penguatkuasa undang-undang, berkata turut terkorban dalam nahas itu ialah tiga anak kapal.

"Hanya ada seorang penumpang didaftarkan dalam pesawat iaitu warga negara Perancis bernama Christophe de Margerie.

"Tiga anak kapal juga warga Perancis. Semua mereka meninggal dunia," kata agensi berita TASS memetik sumber penerbangan awam.

TASS melaporkan, pesawat yang menurut versi laporan awal itu terhempas dan merempuh sebuah kenderaan pengalih salji.

Agensi berita Interfax pula yang memetik sumber polis berkata, salah seorang yang maut adalah eksekutif tertinggi Total bernama de Margerie, 63.

Pesawat jenis Falcon-50 itu terhempas di Lapangan Terbang Vnukovo pada jam 11.58 malam waktu tempatan Moscow ketika hendak berlepas, demikian menurut Kementerian Kecemasan Russia dalam satu kenyataan.

Setakat ini belum ada sebarang maklum balas daripada Total di Perancis. - AFP

407 dibaca
Berita Harian X