Isnin, 22 Februari 2016 | 5:32pm

Bincang isu parti dalam mesyuarat parti - Annuar Musa


Tan Sri Annuar Musa

KOTA KINABALU: Ahli UMNO perlu membincangkan perkara berkaitan parti di dalam mesyuarat parti, bukannya di platform lain.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata ruang yang ada dalam mesyuarat itu perlu digunakan sebaiknya untuk ahli parti untuk membincangkan apa juga isu.

"Jika ada apa-apa yang hendak dibincangkan, ambil peluang untuk membincangkannya dalam mesyuarat. Jangan bercakap banyak di luar tetapi dalam mesyuarat tidak bercakap.

"Kita kena bekerja sebagai satu kumpulan terutama dalam usaha memantapkan parti," katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Biro Penerangan UMNO Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Sapawi Ahmad.

Annuar berkata, UMNO Sabah adalah antara yang paling aktif termasuk jentera penerangannya.

 

"Jika mereka tidak aktif, Sabah tidak akan jadi negeri simpanan tetap. Saya juga mendapati jentera Penerangan UMNO Sabah sudah memulakan kerja cuma saya akan buat penambahbaikan jika perlu," katanya.

Sementara itu, Annuar yang mewakili Majlis Tertinggi (MT) UMNO merakamkan tahniah atas sambutan ulang tahun Jubli Perak UMNO Sabah hari ini.

"Tahniah kepada Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman atas inisiatif menganjurkan sambutan ini. Saya berharap sambutan ini akan menyemarakkan perjuangan UMNO di Sabah, sekali gus sentiasa menghayati prinsip dan dasar perjuangan parti.

"Rakyat Sabah menerima banyak manfaat kemajuan berkat kesetiaan dan perjuangan mereka bersama UMNO," katanya.

159 dibaca
Berita Harian X