Ahad, 21 Februari 2016 | 12:04am

'Doktor' dalam Pantai Kasih langgar Sumpah Hippokrates?


NOVEL Pantai Kasih yang mencetuskan kontroversi tetapi kini diselesaikan kementerian.

PENULIS tertarik untuk berbincang satu topik yang secara jujurnya bukanlah menjadi perbincangan popular penulis namun ada beberapa unsur ilmiah yang boleh dikongsikan bersama.

Ia bermula apabila seorang guru dikatakan memuat naik status di media sosial berkaitan pertikaian teks sastera Tingkatan Empat, iaitu novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin di Facebook pada Januari lalu.

Atas isu yang sama Kementerian Pendidikan juga dikatakan sudah menemui panel pemilih novel teks Komponen Sastera (KOMSAS) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu yang mencetuskan polemik ini.

Ia menarik perhatian Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan yang dilaporkan berkata pertemuan panel pemilih dengan Bahagian Perkembangan Kurikulum bertujuan memperoleh justifikasi menyeluruh sebab pemilihan Pantai Kasih.

Sudah pasti panel pemilih mempunyai kriteria tertentu sehingga karya sastera moden berunsur sains itu dipilih untuk tatapan pelajar Tingkatan Empat.

Kegusaran ibu bapa pula ada asasnya kerana beberapa plot penceritaan itu mudah difahamkan dan pada masa sama, disalahertikan.

Melalui terma dan unsur sains, ia boleh diolah kepada pelbagai jalan cerita. Namun, ia pasti membentuk pelbagai imaginasi pelajar.

Imaginasi itu tidak pula dikaitkan dengan tujuan asal terma sains dalam penulisan novel itu. Isu ke arah hubungan terlarang ini jelas dihidangkan di beberapa bab dalam novel.

Jika ditinjau dari sudut pembelajaran biologi pula, ia sangat berbeza kerana motifnya jelas dan tiada kaitan dengan watak pelaku dan penceritaan.

Fakta sains menjelaskan kaedah yang tepat dan hasilnya boleh dilihat.


TIMBALAN Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Khairil Awang menunjukkan novel Pantai Kasih ketika sidang media di Putrajaya, baru-baru ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Tidak gambarkan kerjaya sebenar

Novel ini menceritakan bagaimana doktor muda yang terpaksa melalui pelbagai bentuk cabaran sebelum berjaya menjadi pakar bedah di sebuah hospital swasta.

Selepas menghadapi kegagalan dalam perkahwinannya, dia akhirnya menerima pelawaan mentornya supaya menyertainya di pusat rawatan mewah, iaitu Pusat Rawatan Pantai Kasih.

Namun, beberapa karakter pelaku utama dan latar belakang kisah dalam novel ini menggambarkan sesuatu yang tidak menggambarkan kerjaya profesional seorang doktor yang sebenar, malah mereka bergelumang dengan kemewahan melampau, hubungan terlarang dan gejala maksiat.

Ini ditambah lagi dengan beberapa plot cerita berkenaan unsur seks dan pergaulan bebas.

Novel ini padat dengan plot berupa konflik kerjaya, hubungan individu dan isu kematangan dalam menjalankan tanggungjawab doktor kepada pesakit serta pengendalian pesakit di hospital.

Penulis novel ini juga menggunakan unsur sains dan ilmu biologi dalam memantapkan olahan plot itu terutama apabila berlaku persenyawaan antara sperma dan ovum.

Bagaimanapun, kontroversi mungkin timbul bukan hanya kerana konflik antara pelaku dalam karya itu.

Ia lebih kepada persepsi negatif kepada profesion kerjaya sebagai doktor, impak kemewahan melampau profesion berkenaan yang bertugas di hospital swasta dan unsur seks yang mudah disalahtafsirkan oleh pelajar.

Sumpah Hippokrates, etika Muslim

Penulis juga ingin mengaitkan beberapa etika perubatan yang dilafazkan sendiri oleh penulis sewaktu berjaya bergelar graduan perubatan hampir 18 tahun lalu.

Sumpah Hippokrates ialah sumpah yang secara tradisional dilakukan oleh doktor mengenai etika yang perlu mereka lakukan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada pesakit.

Kandungan utama sumpah ini antara lain ialah pernyataan kesediaan membantu pesakit sebaik mungkin dengan penilaian ilmu perubatan yang terbaik, kaedah perawatan dan pesakit tidak disalah urus sewaktu mendapat rawatan.

Etika pengamal perubatan Muslim pula sangat menitikberatkan hubungan doktor dengan Tuhannya, perwatakan doktor yang mulia, menjaga hubungan baik sesama doktor dan pesakit.

Pesakit juga sangat wajar diberi perhatian dalam setiap keadaan yang memerlukan mereka untuk sembuh.

Kedua-dua asas etika ini perlu dipatuhi dan menjadi dasar amalan sebagai pengamal perubatan.

Namun, penulis agak gusar apabila mengaitkan isu pergaulan dan kualiti perawatan pesakit berdasarkan jalan cerita dalam novel berkenaan.


LAPORAN dalam BH minggu lalu.

Nilai, falsafah sastera moden

Apabila kita berbicara soal sastera atau kesusasteraan, maka terlintas fikiran akan pelbagai bentuk cerita, plot, konflik, kisah dan pengajaran dalam bentuk penulisan.

Kesusasteraan ialah karya bertulis atau lisan yang dihasilkan dalam bentuk prosa atau puisi oleh sesebuah peradaban atau masyarakat.

Ini termasuklah bentuk sastera tradisi Melayu dan juga kesusasteraan Melayu moden.

Ia mengandungi nilai keindahan, kehidupan, kemanusiaan, interaksi sosial, teori dan falsafah, intelektual, psikologi serta emosi, unsur ketuhanan dan kerohanian yang digarap melalui bahasa.

Hal ini menurut pendapat Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas berdasarkan teorinya yang menegaskan kesusasteraan Melayu moden bermula dengan karya yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri seperti Syair Burung Pingai dan Syair Perahu yang sarat dengan unsur intelektualisme, saintifik dan internasional sifatnya.

Kisah bertentangan sumpah perubatan

Berbalik kepada novel Pantai Kasih, penulis novel ini mengenengahkan pelbagai plot dan konflik yang menarik diselang-seli dengan kisah pelaku yang agak bertentangan dengan sumpah Hippokrates sebagai doktor.

Kisah itu boleh memberi persepsi negatif doktor terutama apabila pelajar ingin mengetahui latar belakang kerjaya mulia ini.

Tidak dinafikan novel ini hanya sekadar cerita tetapi sebagai pelajar bukan mudah bagi mereka membezakan antara cerita dan realiti. Pelajar masih perlu bimbingan yang mencukupi terutama menerusi proses pembelajaran di bilik darjah.

Memahami konflik dan menterjemahkan unsur sains dalam bentuk penulisan sastera sangat dialu-alukan.

Bukan saja untuk pelajar, malah guru juga perlu diberikan pendedahan supaya mereka lebih arif membimbing pelajar mereka.

Namun keterbatasan terma sains, faktor imginasi yang di luar kawal dan pelakunya yang tidak berakhlak, sangat bertentangan dengan norma adab serta perwatakan contoh.

Sebagai pengamal doktor perubatan, penulis sendiri masih memikirkan apakah kaedah terbaik untuk menggunakan terma dan situasi sains serta biologi yang kompleks untuk diterjemahkan kepada penulisan yang mempunyai nilai sastera yang tinggi.

Mungkin perlu idea sebegini digabungkan dalam bentuk penulisan bagi mereka yang berlatarbelakangkan sains sosial dan sains tulen atau juga novel ditulis bersama supaya penulisan itu boleh dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk generasi sekarang dan akan datang.

Penulis ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik).

111 dibaca
Berita Harian X