Sabtu, 20 Februari 2016 | 12:05am

90 peratus pesakit COPD perokok


SEBANYAK 90 peratus daripada pesakit COPD adalah perokok.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) menjadi penyebab ketiga terbanyak kematian di seluruh dunia pada tahun 2030.

Jangkaan ini menjadi kebimbangan sebahagian besar masyarakat ketika ini.

Lebih membimbangkan, statistik terbaharu, melaporkan 4.5 peratus orang dewasa berumur 30 tahun ke atas di negara ini menderita penyakit COPD.

Hampir sebahagian besar daripada yang diserang tidak mengetahui mereka mempunyai penyakit itu.

Pengerusi Yayasan Paru-Paru Malaysia (LFM), Datuk Dr Zainudin Md Zin, berkata COPD adalah penyakit kronik yang menyebabkan pesakit mengalami sesak nafas.

Mangsa juga, katanya, mengalami batuk dan mengeluarkan kahak yang banyak secara berterusan dan semakin teruk dari semasa ke semasa.

"Sebanyak 90 peratus daripada pesakit COPD adalah perokok manakala 10 peratus lagi disebabkan oleh faktor persekitaran seperti pencemaran dan amalan gaya hidup tidak sihat.

Merokok, pencemaran persekitaran

"Kesedaran masyarakat mengenainya menjadi faktor utama berlakunya peningkatan penyakit ini.

"Ini terbukti menerusi inisiatif kesedaran yang dilakukan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masih kurang sambutan," katanya.

Dr Zainudin berkata, langkah pencegahan awal sepatutnya diambil individu atas rasa tanggungjawab misalnya dengan mengubah cara hidup dan mengamalkan rutin senaman dan pemakanan sihat.

"Perkara utama yang seharusnya dielakkan masyarakat kita ialah merokok. Mungkin pada usia muda tiada masalah namun memasuki usia lanjut dikhuatiri memberi kesan sampingan hingga meragut nyawa.

"Di Malaysia, kira-kira 50 peratus lelaki merokok, manakala wanita adalah 20 peratus daripada lebih satu bilion penduduk dunia yang merokok. Walaupun penyakit ini tidak boleh disembuhkan, COPD boleh dirawat secara berkesan jika kita mengubah suai cara hidup," katanya.


COPD timbul berikutan masalah dalam saluran pernafasan dan paru-paru kerana tabiat hidup dan persekitaran.

Mencegah COPD

  • Berhenti merokok - Pelbagai cara diperkenalkan bagi mencapai tujuan ini seperti berhenti merokok, rawatan gantian nikotin dan ubat-ubatan mengurangkan ketagihan merokok serta kaunseling.
  • Elak terdedah kepada persekitaran tidak sihat - Pendedahan kepada asap, gas kimia dan habuk perlu dikurangkan selain mengelak menghidu asap rokok perokok lain (perokok pasif).
  • Suntikan vaksin - Mengambil suntikan vaksin selsema dan kurang bergaul dengan orang ramai ketika musim demam.
  • Mendapatkan rawatan dan nasihat doktor - Kebanyakan ubat COPD adalah ubat sedutan `inhaler' yang disedut terus ke saluran udara dan mengurangkan kesempitan dan inflamasi saluran udara. Ubat sedut mempunyai kesan sampingan, kurang berbanding ubat yang dimakan seperti berdebar-debar dan tangan menggeletar.
  • Bersenam - Senaman penting untuk menguatkan otot pernafasan supaya proses pernafasan menjadi mudah dan mengurangkan gejala sesak nafas selain menambah stamina pesakit.
  • Diet - Kebanyakan penghidapnya menjadi kurus dan mengalami keadaan reput tulang osteoporosis. Pesakit COPD memerlukan tenaga 10 kali ganda berbanding individu normal untuk bernafas. Pemakanan seimbang memberi pesakit tenaga untuk menjalankan tugas harian.
  • Rawatan oksigen - Rawatan diberi kepada pesakit yang berada di peringkat teruk iaitu pada tahap oksigen dalam darah, kurang 90 peratus. Oksigen boleh diberi dengan beberapa cara seperti tangki oksigen atau `oxygen concentrator'. Rawatan ini membolehkan pesakit COPD kronik memperoleh kualiti hidup lebih baik.
  • Pembedahan - Cara terakhir dalam rawatan penyakit COPD, namun bukan cara terbaik kerana risiko pembedahan tinggi. Antara pembedahan dijalankan untuk pesakit COPD adalah 'bullectomy' dan pemindahan paru-paru.

59 dibaca
Berita Harian X