Khamis, 18 Februari 2016 | 7:12pm
KETUA Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Seri Dr Abd Rahman Abd Rahim (kiri) bersalaman dengan anggota dan pegawai Perhutanan Kedah ketika hadir pada Majlis Amanat 2016 di Dewan Tunku Anum, Pusat Pentadbiran Daerah Kubang Pasu hari ini. - Foto BERNAMA

Kedah guna dron pantau hutan simpan


KETUA Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Seri Dr Abd Rahman Abd Rahim (kanan) meneliti senjata api baharu yang dibekalkan bagi membanteras pencerobohan tanah dan kegiatan mencuri kayu dalam hutan pada Majlis Amanat 2016 di Dewan Tunku Anum, Pusat Pentadbiran Daerah Kubang Pasu hari ini. Turut hadir Pengarah Perhutanan Kedah Ku Azmi Ku Aman (kiri). - Foto BERNAMA

KUBANG PASU: Kedah akan menjadi negeri kedua selepas Kelantan menerima kemudahan dron atau pesawat udara tanpa pemandu (UAV) untuk digunakan memantau pencerobohan di hutan simpan di negeri ini.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Seri Dr Abd Rahman Abd Rahim, berkata ia membabitkan peruntukan RM150,000 yang diterima untuk pembelian teknologi berkenaan dalam tempoh terdekat.

Selain digunakan untuk membeli lima unit dron, beliau berkata, peruntukan itu juga akan dimanfaatkan untuk menyediakan latihan kepada pegawai Jabatan Perhutanan negeri dalam usaha memantau dan mengawal pencerobohan di hutan simpan kekal.

"Berdasarkan perancangan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menyasarkan semua negeri memiliki teknologi dron selepas ini, khususnya melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Penghijauan Bumi Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) di Kompleks Pentadbiran Pejabat Daerah Kubang Pasu di sini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Perhutanan negeri, Ku Azmi Ku Aman.

Abd Rahman berkata, pihaknya turut menyediakan 10 senjata api jenis shotgun dan pumpgun kepada JPNK yang membabitkan kos pembelian RM40,000 sebagai tambahan kepada lima yang dimiliki sebelum ini.

55 dibaca
Berita Harian X