Ahad, 14 Februari 2016 | 12:01am
ANTARA karya novel indie.
NURUL Atirah Syahirah Zinul Abidin, 22 (kanan) dan rakannya, Nadirah Mohd Izan, 23 (dua dari kanan) memilih buku yang dijual pada Kota Kata. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
NOVEL Salah Asuhan dan Hikayat Faridah Hanum.

Jangan samakan novel pop, karya sastera berunsurkan cinta


SYED Hussein Alatas .

PENULISAN antara cara menyampaikan idea dan pemikiran penulis yang boleh dikategorikan sebagai golongan intelektual dan cendekiawan yang berfungsi untuk menegakkan kebenaran serta menyampaikan permasalahan rakyat untuk pengetahuan umum.

Syed Hussein Alatas dalam salah satu takrifan, mendefinisikan intelektual sebagai orang yang menghasilkan idea dan menyebarkannya ke pengetahuan awam. Persoalannya bolehkah semua penulis dipanggil sebagai intelektual, sekali gus apakah pula yang melayakkan mereka menerima gelaran itu?

Baru-baru ini, media sosial kecoh mengenai polemik pemilihan teks untuk Komponen Sastera (KOMSAS) sehingga ramai menyifatkan panel pemilihan tersilap dalam memilih kerana novel itu dikatakan sebagai picisan. Novel ini dikatakan tidak mengandungi tema yang kuat, selain tiada nilai murni dan hanya menceritakan percintaan antara doktor dan jururawat.

Selain itu, ada kecenderungan masyarakat untuk membandingkan karya agung Sasterawan Negara (SN) dengan novel cinta popular dan melonggokkan semua novel sebegitu secara keseluruhannya sebagai sampah dan merosakkan masyarakat.

B>Lambakan picisan, laris

Sebelum kita pergi lebih jauh, apakah novel picisan? Picisan menurut Kamus Dewan ialah sesuatu yang tidak berharga atau dengan kata lain rendah mutunya. Lambakan novel yang dikatakan sebagai picisan ini di pasaran buku tanah air memang tidak asing lagi.

Malah, jika berkunjung ke kedai buku, carta jualan buku terlaris menyenaraikan jenis novel ini. Kebanyakan novel ini ditulis oleh penulis wanita, manakala rata-ratanya pembaca juga tergolong dalam golongan yang sama. Tema yang digunakan ialah percintaan dengan kebelakangan ini, cenderung kepada kisah perkahwinan paksa.

Adilkah jika kita mengecapkan semua novel cinta sebagai picisan sedangkan manusia mana yang tidak pernah bercinta? Tema percintaan dalam novel bukanlah perkara yang asing. Antara novel terawal di alam Melayu, jauh sebelum wujudnya Malaysia dan Indonesia sebagai negara yang merdeka ialah Hikayat Faridah Hanum (1926) karya Syed Sheikh Al Hadi dan Salah Asuhan (Abdul Muis).

Novel Faridah Hanum menggambarkan perkahwinan paksa antara watak utamanya dengan Badaruddin, manakala dalam Salah Asuhan pula menampilkan percintaan antara Hanafi, iaitu pemuda Minangkabau berpendidikan Barat dengan Corrie, gadis kacukan.

Disebabkan percintaan antara dua darjat dan budaya berbeza, Hanafi terpaksa berkahwin dengan sepupunya, Rapiah kerana terhutang budi dengan keluarga gadis itu. Plotnya kelihatan seperti novel cinta popular bukan?


KARYA Hamka, novel Tenggelamnya Kapal Van der Wick dan Di Bawah Lindungan Kaabah

Pemikiran penulis, jelas

Sekali baca, kita akan beranggapan kedua-dua novel hebat ini tidak banyak bezanya dengan novel popular di pasaran. Walaupun kebanyakan pengarang awal menampilkan aspek percintaan terhalang dalam novel mereka, pemikiran penulis disampaikan dalam novel dengan jelas.

Novel Salah Asuhan sebagai contoh dengan jelas memaparkan aspek pendidikan yang penting dalam pembentukan insan. Jika baik, maka baiklah hasilnya dan begitu juga sebaliknya.

Hal ini dapat dilihat berdasarkan petikan dalam Salah Asuhan: 'Sebelum bersekolah, hendaklah dia diserahkan mengaji dahulu. Sekalipun dia bersekolah, tetapi pelajaran agama jangan kita tinggalkan.'

Selain novel di atas, Hamka pada zaman mudanya juga menggunakan novel yang bertemakan cinta terhalang untuk mengkritik permasalahan agama dan adat budaya dalam novelnya Tenggelamnya Kapal Van der Wick dan Di Bawah Lindungan Kaabah. Karya Hamka ini mengajak orang berfikir tentang adat budaya yang bertentangan dengan agama.

Dalam Novel Api Tauhid karya Habiburahman El Shirazy pula, beliau menggunakan tema percintaan untuk menceritakan sejarah perjalanan hidup tokoh ulama Turki, Bediuzaman Said Nursi.

B>Tarik pembaca, galak berfikir

Di sinilah motivasi pengarang memainkan peranan. Penulis memainkan peranan sebagai penyampai maklumat dan kritikan dengan menggunakan tema percintaan. Penulis bukan saja dapat menarik golongan muda untuk membaca roman cinta, bahkan menggalakkan mereka berfikir dan merenung maksud dan motif penulisannya. Pembaca yang tidak meminati sejarah boleh jatuh cinta pada sejarah walaupun mungkin hanyalah peminat novel percintaan.

Semua orang boleh menulis tetapi bukan semua dapat menulis novel yang baik, manakala tidak semua karya yang baik akan mendapat pengiktirafan. Fenomena membandingkan novel hebat sasterawan dengan novel pop ialah perbandingan yang sama sekali tidak adil.

SN tentulah mempunyai kelas tersendiri tetapi apa kurangnya dengan pengarang yang lain. Kualiti penulis ditentukan oleh pembacanya. Tidak guna jika sesebuah novel tinggi aspek kesusasteraannya tetapi hanya dapat dinikmati oleh segelintir orang.

Tidak dinafikan, matlamat penulisan juga menentukan bentuk karya. Penulis pop mengharapkan royalti daripada hasil penulisannya dan sasterawan pula tentulah menggunakan karyanya untuk menyampaikan permasalahan rakyat tetapi tetap kedua-dua golongan ini adalah penulis.

Kebebasan berkarya tidak boleh diganggu dan kalau kita tidak bersetuju dengan penulisan sesuatu buku, kita hendaklah melawannya dengan menghasilkan buku yang jauh lebih bermutu daripada karya pop cinta. Melawan buku biarlah dengan buku.

B>Indie tarik anak muda

Lihatlah lambakan penerbitan indie yang menggalakkan minat membaca di kalangan anak muda. Tidak semua buku indie ini bermutu, malah ada buku yang disusun dengan mengambil status dari media sosial tetapi tarikan pembaca muda banyak ke arah sana.

Apapun, sudah tentu orang yang suka membaca lebih baik daripada mereka yang tidak gemar membaca. Kita memuji buku SN, tetapi berapa buah judul yang kita baca dalam sebulan?

Mata pena adalah lebih tajam dari mata pedang. Sejak dulu, penulisan digunakan untuk pelbagai tujuan. Di negara ini, penulisan digunakan sejak zaman pramerdeka untuk membangkitkan semangat rakyat, manakala selepas merdeka pula, ia digunakan untuk menyampaikan masalah rakyat bawahan.

Sebagai pengarang yang mempunyai pengikut sendiri, mereka boleh berperanan untuk membentuk pembaca atau peminat setia. Dengan menambah elemen yang mengajak pembaca berfikir, mereka bukan saja dapat menambahkan ilmu pada pembaca, malah mengajak pengikut untuk berfikir dan merenung isi ilmu dalam buku tersebut.

Pada masa sama, pengarang tidak boleh hanya bergantung hanya pada satu-satu genre penulisan dan tidak berani meneroka ke bidang atau tema penulisan yang lain. Sebagai penulis, hasil penulisan perlulah tahan ujian, kutukan dan kritikan. Barulah, pengarang boleh digelar sebagai intelektual masyarakat.

PROFIL

Penulis ialah peminat sastera Malaysia yang berkelulusan Sarjana Muda Sains (Kimia Analisis).

208 dibaca
Berita Harian X