Khamis, 11 Februari 2016 | 8:19am

FAM hanya iktiraf kontrak A


Datuk Hamidin Mohd Amin

KELANA JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya mengiktiraf Kontrak A, iaitu kontrak rasmi yang diserahkan kepadanya dan jika ada kontrak lain yang ditandatangani pemain, ia bukan di bawah bidang kuasa badan induk bola sepak negara itu.

Malah, amalan menandatangani kontrak kedua (Kontrak B) secara sulit adalah satu kesalahan dan kedua-dua pihak, pasukan dan pemain perlu bertanggungjawab atas perbuatan itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata semua pasukan menyedari peraturan yang wujud sejak dulu lagi menetapkan pemain tidak boleh menandatangani dua kontrak serentak.

"Kita hanya iktiraf satu kontrak yang dihantar kepada FAM saja, jadi jika ada kontrak lain itu salah pemain kerana menandatangani dua kontrak. FAM hanya boleh membantu untuk meminta pasukan menyelesaikan gaji yang tertera dalam kontrak yang sah," katanya semalam.

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail, mendakwa Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelantan dan FELDA United FC, yang beraksi di Liga Malaysia (Liga M), antara pasukan yang dikenal pasti gagal membayar gaji 21 pemain mereka berjumlah RM4.47 juta untuk musim lalu.

ATM mencatatkan jumlah tertinggi apabila gagal membayar gaji 15 pemain mereka membabitkan jumlah tunggakan sebanyak RM3.7 juta.

Pemain ATM memiliki dua kontrak, kontrak rasmi bersama FAM (Kontrak A) dan kontrak bersama ATM (Kontrak B), dengan kedua-dua kontrak mempunyai nilai gaji yang berbeza.

Tuntutan yang dibuat membabitkan bayaran gaji tertunggak untuk sebulan bagi Kontrak A dan enam bulan bagi kontrak B, namun sehingga kini, ATM masih tidak menunjukkan usaha yang baik menyelesaikan masalah terbabit.

Hamidin berkata, Jawatankuasa Status FAM akan membincangkan isu ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap persatuan serta pemain yang menandatangani dua kontrak.

Beliau berkata, FAM menyambut baik usaha PFAM membantu pemain mendapatkan tunggakan gaji mereka, tetapi pada masa sama, FAM sendiri turut berbincang dengan pasukan terbabit bagi mendapatkan penyelesaian.

"Ini mungkin tidak diketahui oleh PFAM, Kelantan sudah menghantar surat untuk meminta masa bagi menyelesaikannya, cuma ia mungkin memakan masa kerana persatuan berkenaan mempunyai masalah penajaan sebelum ini.

"Cuma ingin saya tegaskan, dakwaan PFAM yang mengatakan peraturan kontrak kita tidak mengikut FIFA adalah tidak benar.

"Dia (CEO PFAM, Izham Ismail) tidak boleh buat tuduhan ini. Setiap tahun ada pindaan dalam peraturan mengikut apa yang dikeluarkan FIFA. Kita akan keluarkan surat tunjuk sebab kepada PFAM," katanya.

107 dibaca
Berita Harian X