Rabu, 10 Februari 2016 | 4:40pm

Ola Bola kutip RM8 juta selepas 13 hari di pawagam

KUALA LUMPUR: Selepas 13 hari menemui penonton di 120 pawagam di seluruh negara dan Brunei, filem Ola Bola yang memaparkan semangat muhibah rakyat Malaysia mencatat kutipan sebanyak RM8 juta.

Jumlah berkenaan dijangka terus meningkat melihatkan sokongan ramai terutama menerusi laman sosial yang rata-rata menyatakan karya sentuhan pengarah, Chiu Keng Guan, itu sebagai filem wajib tonton.

Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, berkata plot cerita yang cukup dekat di hati masyarakat berbilang kaum selain komen positif di media sosial hingga menjadi trending sebanyak sembilan kali di Twitter antara faktor penyumbang kutipan terbabit.

"Kami terharu melihat ramai yang memenuhkan panggung. Ola Bola bukan hanya menonjolkan sukan bola sepak, malah meninggalkan impak besar di sanubari masyarakat hingga promosi mulut ke mulut dan laman sosial dilakukan secara suka rela.

"Harapan kami, lebih ramai 'turun' ke pawagam merasai sendiri pengalaman ditempuhi mereka yang sudah mengikutinya. Kutipan pada dua minggu pertama ini membuktikan masih ramai menaruh kepercayaan terhadap industri perfileman negara," katanya.

Diilhamkan daripada kisah benar, Ola Bola mengisahkan semangat juang pemain bola sepak negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia apabila layak ke Sukan Olimpik Moscow, Russia, pada 1980.

Walaupun menampilkan ramai muka baharu kecuali Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27, Frankie Lee dan Bront Palarae, semua teraju utamanya mampu menghidupkan watak hingga membuatkan penonton menitiskan air mata.

Terdahulu, selain Ola Bola, Keng Guan dikenali menerusi sentuhan magisnya dalam filem The Journey yang turut diterbitkan Astro Shaw. Filem yang ditayangkan pada 2014 itu mencipta sejarah memecah rekod kutipan tiket paling tinggi iaitu RM17.28 juta sebelum dipadamkan oleh Polis Evo bersama catatan RM17.3 juta, tahun lalu.

71 dibaca
Berita Harian X