Jumaat, 17 Oktober 2014 | 5:10pm

Kilang Lynas keluar sisa radioaktif tahap rendah - IAEA

KUALA LUMPUR: Pakar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memutuskan bahawa kilang pemprosesan nadir bumi Lynas dekat Kuantan, mengeluarkan sisa radioaktif pada paras yang sangat rendah.

Keputusan itu dibuat oleh pasukan pakar IAEA selepas misi pemeriksaan susulan bebas bagi mengkaji semula keselamatan radiasi di kemudahan pemprosesan nadir bumi itu.

"Risiko radiologi kilang Lynas sangat rendah berikutan paras radioaktif yang rendah," kata ketua pasukan dan pengarah Bahagian Kitaran Bahan Api Nuklear dan Teknologi Sisa, Jabatan Tenaga Nuklear IAEA, Juan Carlos Lentijo, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dalam pemantauan awal, misi susulan itu mendapati kilang terbabit sudah melaksanakan 11 cadangan yang dikemukakan oleh agensi antarabangsa berkenaan semasa misi kajian dibuat pada 2011.

"Malaysia aktif mengemas kini peraturan, selari dengan kebanyakan standard keselamatan IAEA terkini," katanya.

Nadir bumi adalah elemen yang digunakan dalam kebanyakan aplikasi berteknologi tinggi, daripada telefon mudah alih sehingga turbin angin.

Memandangkan bijih yang dihasilkan itu turut mengandungi bahan radioaktif semula jadi seperti torium atau uranium, proses itu mengeluarkan sisa radioaktif pada paras yang sangat rendah dan mesti diurus dengan baik.

- BERNAMA

70 dibaca
Berita Harian X