Sabtu, 6 Februari 2016 | 1:50pm

PPM rampas kosmetik, ubat tiada pengesahan


ANGGOTA PPM Pelabuhan Klang bersama pelbagai barangan kosmetik dan ubatan yang dirampas dalam Op Pensura.

SHAH ALAM: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas pelbagai barangan kosmetik dan ubatan bernilai RM70,836, yang dibawa bot tukaran barang di Jeti Asa Niaga, Pelabuhan Klang, dekat sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussain, berkata bot berkenaan ditahan melalui Op Pensura kira-kira jam 6 petang.

"Pemeriksaan kami menemui 36,786 bungkusan produk jamu, ubatan dan kosmetik yang tidak mempunyai dokumen pengesahan daripada Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM).

"Barang rampasan diserahkan kepada pihak Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM Selangor untuk tindakan lanjut," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Jualan Dadah, 1952 dan Peraturan-Peraturan Dadah dan Kosmetik, 1984.

Dalam tangkapan berasingan, Ahmad Shafiki berkata, PPM  menahan sebuah bot tukaran barang yang membawa muatan pelbagai produk makanan di Perairan Bagan Hailam, Pelabuhan Klang, petang semalam.

Katanya, bot terbabit membawa 1,638 barangan makanan seperti kicap, air, susu dan sos tanpa dokumen pengesahan.

"Barangan dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) 2011," katanya.

337 dibaca
Berita Harian X