Sabtu, 6 Februari 2016 | 11:57am

Jangan 'buat-buat lupa' tunggakan gaji pemain

KUALA LUMPUR: Persatuan dan kelab bola sepak dalam Liga Malaysia (Liga M) seharusnya tidak berdiam diri atau 'buat-buat lupa' daripada menyelesaikan masalah membabitkan tunggakan gaji pemain.

Kurang dari dua minggu lagi musim 2016 bakal membuka tirai, namun tunggakan yang berlaku sejak musim lalu masih belum diselesaikan.

Tindakan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), yang mula mengambil langkah lebih serius bagi menyelesaikan kes terbabit seharusnya mendapat pujian dalam usaha untuk memastikan pemain mendapat hak mereka.

Jika mengikut rekod sebelum ini, barisan pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan mungkin mengisi senarai tuntutan yang bakal dikemukakan PFAM selepas dua pasukan itu dilanda isu tunggakan gaji pemain musim lalu.

"PFAM sudah melakukan dan mengikut segala prosedur yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Status FAM.

"Antaranya penghantaran surat secara sendirian kepada pasukan, aduan dan penyerahan afidavit kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung beberapa tuntutan pemain yang tidak menerima bayaran gaji daripada pasukan masing-masing di antara tiga hingga enam bulan pada musim lalu.

"Namun, setelah melihat sikap berdiam diri daripada pasukan, PFAM terpaksa mendedahkannya menerusi sidang media, Selasa ini dalam usaha kami memastikan hak pemain benar-benar didengari oleh pasukan berkenaan," kata PFAM dalam satu kenyataan, semalam.

PFAM menjadi orang tengah kepada pemain tempatan dan import menyelesaikan masalah gaji mereka.

Dalam perkembangan lain, PFAM dengan kerjasama All Sports Images and News Agency (asiana.my) akan meneruskan penganjuran Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Liga M untuk musim ini dengan penampilan buat kali pertama MVP Sports Agency sebagai rakan penaja utama.

Pemenang anugerah terbabit bakal menerima RM1,500 sumbangan MVP Sports Agency, sebuah trofi dan gambar berserta bingkai pemain itu sumbangan asiana.my.

51 dibaca
Berita Harian X