;
Isnin, 18 Januari 2016 | 7:16pm

Pertandingan sukan lasak wajib pakai gincu pertama di Malaysia


PENGERUSI Tourism Perak Management Berhad (Tourism Perak), Muhamad Kamil Shafie (tengah) bersama penganjur program Gua Tempurung Lipstick Challenge 2016 di pra pelancaran program di Pejabat Tourism Perak, Jalan Teh Hawa di sini. - Foto Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Satu-satunya pertandingan unik di negara ini, yang mewajibkan pesertanya beraksi sambil memakai gincu iaitu Gua Tempurung Lipstick Challenge 2016 ( GTLC 2016), akan diadakan pada 30 dan 31 Januari ini.

Pengerusi Tourism Perak Management Berhad (Tourism Perak), Muhamad Kamil Shafie, berkata program kerajaan negeri melalui Tourism Perak dengan kerjasama Persatuan Homestay Perak dan RAT Adventure Consultant itu bertujuan memberi peluang kepada wanita menceburi sukan lasak pelbagai disiplin bagi menguji ketahanan fizikal serta mental mereka.

Katanya, pertandingan itu membabitkan laluan mencabar sejauh 13 kilometer di sekitar lokasi produk pelancongan terkenal Gua Tempurung di Gopeng, dekat sini.

"Penyertaan terbuka kepada wanita dari dalam dan luar negara, yang berusia 15 tahun ke atas. Setakat ini, kita sudah mempunyai 300 peserta yang berdaftar menyertai pertandingan unik ini.

"Peserta diwajibkan memakai gincu di sepanjang laluan menempuh 10 jenis halangan seperti rubber trouble, wooden bridge, crawling maze, mud mad, amazing spider web dan pelbagai lagi cabaran membabitkan laluan di kampung, pinggir hutan, pinggir gunung serta sungai.

"Jadi, kita akan melihat mana yang mampu bertahan, sama ada ketahanan lasak peserta wanita berkenaan atau gincu yang melekat di bibir," katanya pada sidang media ketika prapelancaran pertandingan berkenaan di Pejabat Tourism Perak, di sini, sebentar tadi.

Muhamad Kamil berkata, GTLC 2016 adalah program pertama anjuran Tourism Perak pada tahun ini dan meletakkan harapan tinggi bagi mempromosikan Tahun Melawat Perak 2017 pada tahun depan.

"Jika sebelum ini pernah diadakan pertandingan seumpamanya iaitu larian cabaran yang memerlukan peserta berlari memakai pakaian ala korporat, kali ini kita cuba mencipta kelainan dalam acara sukan lasak pula.

"Program ini adalah satu inisiatif kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke Perak," katanya sambil menyasarkan kedatangan lebih lima juta pelancong domestik ke negeri itu pada tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Homestay Perak, Noradidah Mokhtar, berkata program itu menawarkan hadiah RM300 hingga RM500 bagi tiga kategori iaitu peserta paling muda, peserta paling tua dan peserta gincu kekal di bibir.

Katanya, permohonan masih dibuka sehingga 25 Januari dan peserta boleh melayari laman Facebook Lipstic Obstacles Run untuk maklumat lanjut.

85 dibaca
Berita Harian X