Sabtu, 16 Januari 2016 | 6:47pm

Polis serbu rumah penyerang di Bogor, buru isteri


POLIS menyerbu rumah seorang daripada lima suspek penyerang Jakarta. - Foto Daily Mail

JAKARTA: Polis Indonesia menyerbu rumah seorang daripada lima militan yang terbunuh dalam serangan pengganas di pinggir ibu kota ini Khamis lalu dan kini sedang mencari isterinya.

Afif atau Sunakim atau Sunardi dipercayai menyewa sebuah rumah di Bogor. Lokasi berkenaan diserbu skuad antipengganas polis nasional, Densus 88 pagi ini.

Mengikut Ketua Polis Bogor, Suyudi Ario Seto, tiada siapa ditemui dalam rumah itu namun pasukan keselamatan menjumpai beberapa dokumen termasuk sijil perkahwinan, kad pengenalan dan buku agama.

Bagaimanapun, Suyudi tidak menyatakan atau mengesahkan sebarang penemuan bahan letupan di lokasi terbabit.

Dalam pada itu di Bandung, ibu bapa Afif tiba di ibu pejabat polis daerah malam semalam untuk mengenal pasti mayat anak mereka.

Mereka mengecam gambar lelaki memakai topi hitam dan membawa beg merah sebagai anak mereka yang diambil sehari sebelum serangan di Jakarta Tengah.

Seorang jurucakap Polis Jawa Barat, Sulistyo Pudjo Hartono berkata pasangan dari kampung Afif di Subang, Jawa Barat itu mendedahkan kali terakhir bercakap dengan anak mereka Rabu lalu, namun ia tidak jelas jika dia ada menyebut mengenai serangan pengganas.

Sulistyo berkata, mereka akan dibawa ke hospital polis di Jakarta Timur, lokasi yang menempatkan mayat lima penyerang untuk pengesahan.

Sunakim hanya memakai topi besbol, kemeja T dan membawa beg ketika melakukan serangan menyebabkan tiada siapa yang perasan sehingga tembakan dilepaskan.

Polis Indonesia berkata, Sunakim dikenali ejen antipengganas kerana pernah dipenjarakan tahun 2010 selepas menjalani latihan senjata di kem separa tentera di Aceh.

Kem yang ditubuhkan ulama militan Abu Bakar Bashir itu ditutup selepas diserbu polis dalam pertempuran bersenjata yang mengorbankan tiga anggota polis dan seorang penduduk kampung. -Agensi

140 dibaca
Berita Harian X