Selasa, 12 Januari 2016 | 11:51am

Pegawai JKM dituduh kemuka tuntutan palsu


PEGAWAI Kebajikan Masyarakat, Syed Mohd Abdul Ghani Syed Ali (kiri) mengaku tidak bersalah dan minta dibecarakan atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu di Pejabat JKM Mersing Oktober 2013 di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu di Pejabat JKM Mersing, pada Oktober 2013.

Syed Mohd Abdul Ghani Syed Ali, 54, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Oktober 2013 antara jam 8 hingga 11 pagi di Pejabat JKM Mersing, dekat sini dengan niat memperdayakan majikan.

Tertuduh didakwa mengemukakan satu dokumen pesanan kerajaan bertarikh 24 September 2013 berjumlah RM5,000 bagi membekal pakaian seragam untuk Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan JKM Mersing dan mengandungi butiran palsu manakala tertuduh mendakwa barangan dipesan sudah diterima.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Norfazlin Hamdan dan tertuduh diwakili peguam Vinodharan Mohan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Februari ini.

134 dibaca
Berita Harian X