Rabu, 6 Januari 2016 | 8:00am

Malaysia tuan rumah mesyuarat SEAGF


MESYUARAT Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF)

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) selama dua hari bermula 23 Februari, ketika negara sedang giat membuat persiapan bagi menganjurkan Sukan SEA 2017.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, berkata mesyuarat yang akan diadakan serentak dengan mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC), antara lain akan membincangkan jumlah sukan yang dicadangkan pada Sukan SEA 2017.

"Mesyuarat Majlis SEAGF juga akan membincangkan mengenai tuan rumah Sukan SEA 2019 yang sepatutnya akan dianjurkan oleh Filipina, tetapi mereka belum mengesahkan perkara itu (kepada SEAGF)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM kelima bagi sesi 2015-2017 di Wisma MOM di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan MOM secara prinsip, bersetuju dengan 39 daripada 55 sukan yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2017, namun jumlah sukan itu belum diputuskan sama ada bertambah atau dikurangkan.

Tunku Imran berkata, senarai sukan yang dicadangkan untuk Sukan SEA 2017 juga akan mengambil kira beberapa aspek seperti peruntukan, venue, daya tarikan sesuatu sukan itu, selain peluang Malaysia meraih pingat emas dalam acara sukan itu.

Dalam perkembangan lain, Tunku Imran yang juga Pengerusi SEAGF mengumumkan pelantikan beberapa anggota MOM dalam Jawatankuasa SEAGF.

Mereka adalah Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang akan mengetuai Jawatankuasa Anggota EXCO SEAGF; Setiausaha Agung Datuk Low Beng Choo (Jawatankuasa Sukan dan Peraturan); Datuk Dr SS Cheema (Jawatankuasa Perubatan) dan Naib Presiden (Wanita) MOM, Datuk Mumtaz Jaafar (Jawatankuasa Sukan dan Wanita). - BERNAMA

96 dibaca
Berita Harian X