;
Rabu, 23 Disember 2015 | 11:05am

Sesak 10km di PLUS, lori kontena terbalik di Taiping


KEMALANGAN jalan raya melibatkan lori kontena di Kilometer 210.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan. - Foto Ihsan Bomba

TAIPING: Seorang kanak-kanak parah manakala ibu bapanya cedera ringan dalam kemalangan membabitkan lori kontena terbalik di Kilometer 210.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini, kira-kira jam 8 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa Mohd Taufiq Abd Sattar, berkata tiga sekeluarga itu membabitkan pemandu dan penumpang lori terbabit.

"Kemalangan menyebabkan kesesakan teruk kira-kira 10 kilometer (km) bermula dari Plaza Tol Kamunting hingga Changkat Jering.

"Semua mangsa dihantar ke hospital dengan ambulans.

"Difahamkan, lori kontena terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Butterworth, Pulau Pinang.

"Selepas terbabas, ia dikatakan memasuki laluan bertentangan lalu terbalik merintangi jalan, menyebabkan kesesakan di laluan berkenaan.

"Setakat jam 10.30 pagi ini, kerja mengalihkan lori kontena terbabit masih dijalankan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Sementara itu, Jurucakap PLUS berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan berkenaan kira-kira jam 8 pagi.

"Lori kontena yang terbalik itu menghalang laluan trafik kiri dan kanan jalan, menyebabkan kesesakan bagi pengguna menghala ke selatan.

"Pemandu dinasihatkan menggunakan laluan alternatif di susur keluar Kamunting dan masuk semula ke susur keluar Changkat Jering atau Kuala Kangsar," katanya.

660 dibaca
Berita Harian X